‘Umpama Anak-anak Kecil‘; Umno Sebenarnya Takut Untuk Berdebat


KUALA TERENGGANU - PAS telah lama menyatakan kesediaan dan kesanggupan bermuzakarah atau berdebat dengan pihak Umno, namun sebaliknya Umno memberikan pelbagai alasan pada setiap kali apabila PAS menjemput Parti itu untuk bersemuka.

Presiden PAS, Dato‘ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, isu muzakarah bukan perkara baru tetapi sejak tahun 1984 setelah dibatalkan debat PAS-Umno kerana ketidaksanggupan ulama‘-ulama‘ dalam Umno.

Justeru beliau menyifatkan saranan Umno Terengganu agar pimpinan PAS dibawa ke setiap daerah yang kononnya masih berlaku perpecahan hanyalah modal bualan ‘anak-anak kecil‘.

Menurutnya, desakan pemimpin Umno Terengganu supaya PAS menarik balik ‚Amanat Haji Hadi‘ sebagai suatu desakan ‘kaki lima‘ Umno sahaja.

“Kita (PAS) minta muzakarah tetapi pusat (kerajaan BN) tolak muzakarah. Ini (wakil rakyat) kaki lima sahaja tak boleh jawab. Saya dah jumpa kat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

“PAS sudah minta dan bersedia tapi Umno tidak sanggup bermuzakarah. NGO-NGO Islam sanggup jadi orang tengah tetapi Umno tolak.

“Dulu debat tahun 1984 tapi dibatalkan, dia (Umno) tidak sanggup. Ini kecil sahaja, kaki lima Umno. Zaman Tun Dr Mahathir (Perdana Menteri) sudah marah, ulama’ dalam Umno tidak sanggup. Ulama’ besar dia (Umno) tidak sanggup. Ini modal anak kecil Umno,” jelasnya kepada pihak media.

Beliau berkata demikian ketika menjawab desakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Dato’ Rosol Wahid yang mencadangkan kepada Dewan (Dun) Terengganu agar Adun Rhu Rendang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dibawa ke setiap daerah bagi membuat penjelasan kerana dikatakan punca perpecahan masyarakat Islam di Terengganu.

Isu tersebut ditimbulkan oleh Adun Tepoh, Muhammad Ramli Nuh ketika membahaskan Titah Ucapan Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin yang merasmikan Persidangan Dun Terengganu ke-12 bagi penggal kelima di Wisma Darul Iman, 23 April lalu.

Sehubungan itu, Ustaz  Abdul Hadi menyifatkan desakan tersebut tidak perlu dilayan sekadar ‘permainan’ anak-anak kecil Umno Terengganu.

-/ buletinonline.net

0 Komen pengunjong :