Guan Eng : Muhyiddin syok sendiri di alam fantasi


KUALA LUMPUR: Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkeras menegaskan bahawa sistem pendidikan Malaysia adalah lebih baik berbanding negara-negara maju menunjukkan sindrom penafiannya masih menebal.
Malah, Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri itu masih terperangkap dalam alam fantasi “syok sendiri” serta menimbulkan keraguan rakyat tentang kemampuan beliau menjadi pemimpin negara, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Menurutnya, Muhyiddin telah dilaporkan berkata demikian selepas keputusan kaji selidik baru-baru ini oleh Introspek Asia, yang kononnya menunjukkan bahawa 55 peratus rakyat Malaysia dewasa percaya bahawa sistem pendidikan di Malaysia setanding negara-negara lain, manakala 35 peratus mengatakan bahawa ia adalah “lebih baik berbanding negara-negara maju”.
Guan Eng menjelaskan bahawa sebelum ini, Muhyiddin telah memilih untuk memetik sebahagian sahaja daripada Laporan 2011-2012 Global Competitiveness Index oleh World Economic Forum (WEF), dan  menggunakannya untuk membuktikan bahawa kualiti pendidikan di Malaysia adalah lebih baik berbanding Amerika Syarikat, Jerman dan United Kingdom.
“Jika ini benar, beliau harus menjawab kenapa tidak pernah ada seorang pun pemenang Anugerah Nobel dari Malaysia dan kenapa tiada satu pun universiti Malaysia yang termasuk dalam kedudukan 200 universiti yang terbaik di dunia?
“Atau kenapa, jika diberi pilihan, lebih banyak pelajar Malaysia memilih untuk belajar di Amerika Syarikat, UK dan Jerman dan bukan di universiti tempatan?”
“Sekali lagi, Muhyiddin sekadar selektif dalam memilih statistik yang menyokong pandangannya. Sebagai contoh, dalam laporan WEF, beliau telah memilih penunjuk yang mencerminkan kaji selidik ke atas 87 “eksekutif perniagaan utama” iaitu satu sampel golongan yang lebih besar kemungkinannya merupakan golongan kaya yang duduk di bandar dan menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah awam yang terbaik jika tidak ke sekolah-sekolah swasta.
“Oleh itu, adalah tidak mengejutkan sekiranya mereka memandang tinggi sistem pendidikan tempatan,” katanya.
Menurut Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, hakikat sebenarnya adalah realiti sistem pendidikan Malaysia adalah jauh daripada gambaran cantik Muhyiddin di alam fantasinya.
Beliau menjelaskan bahawa, daripada laporan WEF yang sama, kedudukan Kemasukan Pendidikan Menengah Malaysia berada di tangga ke-101, menunjukkan bahawa terdapat ramai pelajar yang tercicir selepas sekolah rendah dan oleh itu tidak dapat memperolehi pengajian tinggi.
Kedudukan Malaysia pada tangga ke-101 itu meletakkan negara kita di bawah Thailand (94), Indonesia (91), Brunei (35) dan Singapura (17) di rantau ASEAN sahaja, tambah beliau.
“Statistik-statistik antarabangsa yang lain juga meletakkan sistem pendidikan di Malaysia di tahap yang rendah. Sebagai contoh, dalam Program for International Student Assessment (PISA) bagi tahun 2009 yang melibatkan 75 negara, Malaysia menduduki tangga ke-55 dalam keupayaan membaca, 57 dalam keupayaan Matematik dan 52 dalam Sains.
“Prestasi kita dalam Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) juga telah menunjukkan kemerosotan secara berterusan sejak 1999 hingga 2007,” katanya lagi.
Malangnya, daripada mengakui kelemahan dan mencari penyelesaian, Guan Eng berkata, Muhyiddin yang menganggap dirinya ‘Melayu dahulu, rakyat Malaysia kemudian’ lebih suka menafikan dan cuba memperdayakan rakyat Malaysia dengan data selektif dan subjektif untuk mengaburkan kebenaran keadaan pendidikan negara.
Sementara itu, di satu majlis di Pulau Pinang, Guan Eng selaku Ketua Menteri Pulau Pinang telah menyampaikan takziah dan sumbangan ikhlas RM10,000 kepada keluarga Allahyarham Cikgu Fahmi Abdul Wahab.
Allahyarham adalah Pegawai Penyelaras kawasan DUN Sungai Dua dan Parlimen Tasik Gelugor. Beliau meninggal dunia pada 21 April lalu. Allahyarham merupakan AJK PAS Pulau Pinang.

–/Roketkini.com

0 Komen pengunjong :