Umno akui tukar alamat mengundi siswa Melaka


Speaker DUN Melaka Datuk Wira Othman Mohamad mengakui wujud gerak kerja untuk menukar alamat tempat pengundian pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri Melaka.

Beliau yang mengetuai gerak kerja itu berkata, ia bertujuan bagi memudahkan pelajar terbabit untuk mengundi sekiranya pilihan raya umum ke-13 dijalankan bukan di dalam cuti semester.

Jelasnya, perkara itu turut dilaksanakan di negeri lain, termasuk negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat terutamanya di Selangor bagi memberi peluang kepada siswa terbabit menunaikan
tanggungjawab itu.

"Perkara ini dilakukan setelah menyedari pada PRU ke-12 tahun 2008 lalu, lebih 2,000 siswa tidak dapat melaksanakan tanggungjawab itu kerana tidak bekesempatan pulang ke kampung halaman masing-masing.

"Menyedari perkara ini, mulai Januari hingga Mac lalu, kami telah menjalankan sesi taklimat kepada pelajar-pelajar terbabit di beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini sebagai
menerangkan perkara ini supaya tidak timbul salah faham.

"Kebanyakan daripada mereka sudah pun membuat pendaftaran memilih di kampung halaman mereka justeru sebagai memudahkan urusan ini kita telah pun mendapatkan kerjasama daripada pihak Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya.

Beliau diminta mengulas laporan Malaysiakini semalam mengenai pendedahan 'bukti' bahawa anak pemimpin Umno tempatan memaksa dan cuba 'membeli' pelajar IPT supaya menukar alamat tempat pengundian bagi memberikan kemenangan BN di kawasan tertentu dalam pilihan raya.

Beliau berkata, kesemua proses pertukaran alamat tempat mengundi pelajar terbabit adalah berdasarkan lokasi mereka belajar dan menetap.

"Secara kebetulan kebanyakan IPT berada di dalam kawasan Bukit Katil misalnya, Kolej Yayasan Melaka (KYM) yang beralamat di Padang Jambu adalah dalam kawasan Parlimen Bukit Katil dan begitu juga kebanyakan IPT lain juga dalam parlimen sama.

"Mengenai dakwaan kononnya berlaku paksaan dan tindakan membeli (undi) pelajar, pihak kami menafikan perkara ini sebab kita sudah jelaskan kepada pelajar terlibat dan ramai juga pelajar yang tidak menukar alamat mereka kerana kurang bersetuju.

"Perkara ini perlu disebabkan seseorang pengundi harus membuang undi mengikut alamat seperti tertera di kad pengenalan mereka," katanya lagi.
Langkah itu berbeza daripada amalan semasa pilihan raya umum sebelum ini di mana seseorang boleh mendaftar mengundi di kawasan yang berbeza dengan alaman di kad pengenalan mereka, katanya.

Di kawasan lain di Melaka juga katanya, turut dilakukan proses serupa misalnya di Alor Gajah dan Jasin.

"Ini semua bagi memberikan kemudahan kepada pelajar terbabit dan langsung tidak timbul soal penyelewengan dan penipuan seperti yang  didakwa pembangkang semalam," katanya.

0 Komen pengunjong :