Resolusi konvensyen halatuju Felda tolak cadangan penyenaraian


SHAH ALAM — Konvensyen Halatuju Felda hari ini dalam resolusinya sebulat suara menolak cadangan penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGVH) oleh kerajaan yang dijangka bakal dilaksanakan awal Jun tahun ini. Menurut pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak) Mazlam Aliman, pihaknya bersama gabungan NGO-NGO bersepakat untuk menolak penyenaraian kerana tindakan itu akan menganiaya peneroka Felda.
“Resolusi Konvensyen Hala Tuju Felda hari ini bersepakat menolak rancangan penyenaraian FGVH. Malah, kami juga bersepakat mendesak kerajaan Barisan Nasional (BN) mengkaji semula masalah berbangkit berkenaan hutang yang dihadapi 170,000 peneroka,” tegasnya ketika membacakan resolusi tersebut di hadapan kira-kira 800 peserta di sini.
Tambah Mazlan, konvensyen berkenaan juga bersetuju supaya tanah Felda seluas 360 ribu hektar diagih-agihkan kepada generasi kedua, dan ketiga tanah rancangan tersebut.
“Konvensyen juga bersetuju untuk mengagih-agihkan tanah peneroka kepada generasi kedua Felda supaya mereka juga akan beroleh manfaat daripada tanah tersebut.
“Hutang peneroka seramai 170,000 orang perlu dikaji semula. Peranan pengendali kebun peneroka, perlu disemak kembali dengan menyerahkan tanggungjawab menyelenggara kebun peneroka diserahkan kepada koperasi Felda di seluruh negara,” kata Mazlan.
Selain itu, konvensyen berkenaan juga membuat keputusan bahawa Felda perlu membangunkan institusi pengajian tinggi sendiri bagi melatih anak-anak peneroka agar mereka dapat menyumbangkan bakti kepada Felda.
“Felda perlu mewujudkan universiti sendiri. Dengan ini ia akan menjimatkan perbelanjaan Felda berbanding menghantar mereka ke institusi pengajian tinggi lain.
“Kami juga mendesak BN selesaikan masalah berbangkit peneroka sebelum PRU dijalankan. Jika tidak, resolusi memutuskan, pakej sama akan dikemuka [Pakatan Rakyat],” tegasnya lagi.
Konvensyen yang berjalan di Universiti Industri Selangor (Unisel) hari ini menghimpunkan peneroka daripada seluruh pelusok negara termasuk wakil dari Sabah.
Mazlan yang juga Pengerusi Gerakan Selamatkan Felda, berkata, resolusi tersebut akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi memberikan kefahaman kepada Putrajaya keburukan cadangan penyenaraian FGVH.
“Konvensyen hari ini akan menghasilkan satu resolusi yang akan diserahkan kepada perdana menteri supaya beliau mampu mempertimbangkan keputusan tersebut.
“Kebimbangan utama kami adalah Putrajaya sedang berusaha mencari dana bagi menghadapi pilihan raya umum yang akan datang, bukannya ikhlas untuk membantu meningkatkan imej Felda,” tegasnya.
Tambah Mazlan, sekiranya Putrajaya masih lagi gagal mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu Felda ini, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengadakan perhimpunan raksasa sebagai langkah terakhir menghalang usaha cadangan penyenaraian FGVH.
“Kami sudah melakukan segala usaha untuk menghalang penyenaraian ini. Daripada media, hinggalah kepada konvensyen hari ini.
“Sekiranya perdana menteri masih lagi tidak mengambil tindakan, kami akan menggerakkan 1.6 juta peneroka dari seluruh negara untuk mengadakan perhimpunan raksasa sebelum pilihan raya bagi menghalang penyenaraian,” tegasnya lagi.
Jelas Mazlan, resolusi hari ini juga menunjukkan masih ada jalan lain untuk membantu meningkatkan imej Felda selain daripada penyenaraian.
Sehubungan itu, beliau menjangkakan, resolusi berkenaan akan diserahkan kepada Najib awal Mei depan, bagi menghalang penyenaraian tersebut.
Konvensyen hari ini turut disertai oleh panel-panel jemputan untuk membentangkan kertas kerja mereka bagi menerangkan keburukan berkenaan penyenaraian FGVH.
Antara panel terlibat adalah, Bekas Gabenor Bank Negara, Dr Rosli Yaakub; Bekas Adun Pulau Manis, Datuk Ariff Sabri; bekas Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Permodalan Felda (KPF); dan juga Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli; termasuk Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.

0 Komen pengunjong :