Penyenaraian FGVH: Mereka nak pakai duit


SHAH ALAM:  Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman menegaskan bahawa langkah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia adalah agenda pihak tertentu untuk pakai duit.
“Mereka hendak pakai duit dan bukannya untuk memperkasakan Felda atau pun meninggikan taraf hidup para peneroka,” tegas beliau pada Konvensyen Halatuju Felda yang berlangsung di Unisel, Shah Alam semalam.
Ujar Mazlan, “malah menyenaraikan FGVH di Bursa Malaysia mempunyai risiko yang besar. Harga pasaran boleh naik atau merudum dan apa yang paling kita bimbangi ialah seandainya sejumlah besar saham dijual kepada syarikat asing.
“Hari ini kita berjaya himpun lebih 1,000 peneroka dari seluruh negara termasuk dari Sabah. Semua yang hadir pada hari ini membantah penyenaraian FGVH,”kata Mazlan yang juga AJK PAS Pusat dan pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah parti itu.
Beliau menegaskan, “saya hendah ingatkan bahawa sekiranya isu ini sampai ke tahap kritikal, peneroka tidak akan teragak-agak menganjurkan satu perhimpunan besar seperti Bersih, Anti-ISA dan Hapuskan PPSMI untuk mendesak kerajaan batalkan penyenaraian FGVH.
Mazlan berkata hasil daripada beberapa resolusi yang diluluskan di dalam Konvensyen ini akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak pada bulan Mei ini.
Antara isi kandungan resolusi ini ialah meminta Najib menimbangkan semula keputusan menyenaraikan FGVH, nasib generasi kedua dan ketiga Felda, melahirkan golongan intelektual Felda dan menubuhkan Universiti Felda sama seperti konsep Universiti Petronas.

Kadir popular di kalangan peneroka


Kehadiran bekas Menteri Penerangan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir turut mencuri perhatian peneroka dari seluruh negara apabila ucapan beliau selama 45 minit tidak putus-putus disambut dengan tepukan gemuruh dan diselang seli dengan takbir “Allahu Akbar”.
Beliau berkongsi pengalamannya sebagai menteri kabinet Umno dan mengutarakan pelbagai pandangan berhubung isu semasa dan nasional termasuk isu penyenaraian FGVH.
Dalam ucapan perasmian beliau menyoal, “kenapa perlu listing (penyenaraian)? Biasanya syarikat yang memerlukan sumber kewangan yang besar untuk meluaskan perniagaannya yang akan listing.
“Malah ada syarikat besar yang pernah listing akhirnya menjadikan syarikat tersebut sebagai private (persendirian) semula kerana risiko di pasaran saham terbuka luas.  Saya tidak nampak keperluan untuk Felda disenaraikan,” kata Kadir.
Kadir turut mengkritik Umno di dalam ucapannya apabila berkata bahawa Umno sekarang ini tidak boleh ditegur lagi.
“Dulu Umno milik tiga juta ahli. Umno kepunyaan ahli. Sekarang Umno bapak dia punya. Kebas kiri kebas kanan. Juta-juta tak main dah. Sekarang billion-billion.
“Perjuangan mulia bapak-bapak dia dulu sudah tidak ada lagi di dalam Umno,” tambah Kadir.
‘Perompak, penyamun mesti dinyahkan’
Sementara itu, bekas Timbalan Gabenor Bank Negara dan Penasihat Ekonomi Anak, Dr Rosli Yaakop menjadikan Pengerusi Felda dan Pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF), Tan Sri Mohd Isa Samad sebagai serangan beliau.
“Mohd Isa tidak layak menjadi Pengerusi Felda dan Pengerusi KPF. Sikap amanah dan tanggungjawab beliau menjaga harta Felda dan peneroka dipertikai kerana beliau pernah terlibat dengan kesalahan beli undi pada pemilihan Umno untuk jawatan Naib Presiden parti dulu.
“Beliau juga bukan peneroka dan tidak layak menjadi ahli KPF dan seterusnya menjadi Pengerusi KPF.
“Perompak dan penyamun ini harus dinyahkan dari Felda! Kita pastikan perompak dan penyamun ini dinyahkan dari Felda!,” teriak Dr Rosli dan disambut oleh peneroka dengan sorakan gemuruh.
Kembalikan kuasa kepada peneroka
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli pula mendesak agar kerajaan mengembalikan semula kuasa kepada peneroka.
“Kenapa nak senaraikan FGVH? Kamu (kerajaan) nak senaraikan tetapi tiada kebajikan untuk peneroka. Kamu gunakan harta Felda (peneroka) untuk kutip duit. Penyenaraian ini terdedah kepada risiko pegangan pemiliknya.
“Sepatutnya kamu fikirkan macam mana nak lipat gandakan pendapatan peneroka. Bukan rampas tanah,” ujar Rafizi yang menunjukkan rasa marahnya kepada pemimpin-pemimpin yang menjaga hal ehwal Felda.
Konvesyen sehari itu turut dihadiri oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Husam Musa; Sasterawan Negara, Dato’ A Samad Said; bekas Naib Presiden Felcra Berhad, Dato’ Ramli Buyung; Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh dan anak bekas Timbalan Perdana Menteri dan Veteran Umno, Tamrin Ghafar Baba.

0 Komen pengunjong :