MB Terengganu yang 'kurang cerdik'


Sepanjang minggu lepas saya berada di Kota Kairo bagi menghadiri program ‘observer team’ pilihanraya presiden di sana. Kesempatan itu saya ambil untuk bertemu dan berdialog dengan sembilan pelajar Terengganu yang ditarik serta-merta penajaan pendidikan di bawah Yayasan Terengganu (YT) setelah mereka didapati bersalah terlibat dalam himpunan aman ‘Bersih’ di Mesir pada awal tahun lepas.

Adalah amat memilukan apabila saya dapati kesemua pelajar-pelajar ini adalah terdiri dari keluarga yang miskin dan kurang berada. Ada diantara mereka kini sudah memasuki tahun empat pengajian dan mereka di ambil tindakan dan dinafikah hak ‘berhimpun secara aman’ bukan oleh kerajaan junta tentera di Mesir yang memang terkenal ganas tetapi oleh kerajaan kepimpinan Menteri Besar Terengganu Datuk Sri Ahmad Said.

Malah secara angkuh Ahmad Said menyatakan bahawa beliau tidak  akan tunduk dengan desakan mana-mana pihak berhubung penarikan balik pinjaman Yayasan Terengganu (YT) ke atas sembilan penuntut terbabit. Ahmad Said menyatakan;

“Kita tetap dengan keputusan untuk menarik balik pinjaman penuntut yang didapati terlibat kerana kita hantar mereka (pelajar) untuk pergi belajar dan bukannya terlibat dengan kegiatan sebegini (perhimpunan haram),” katanya.

Lebih parah lagi apabila Ahmad Said bertindak  mencabar PAS agar membiayai pengajian sembilan penuntut yang terlibat dengan perhimpunan Bersih di Mesir tahun lalu;

“Saya cabar PAS untuk membiayai pengajian sembilan penuntut terbabit kerana telah mendesak dan menghasut penuntut berkenaan untuk menyertai perhimpunan Bersih. Penuntut yang masih mentah ini tidak pernah mengundi, bagaimana mereka tahu pilihan raya yang diadakan tidak bersih.

“Buat demonstrasi..kutip derma...kutiplah. Biar PAS pula tanggung (pengajian pelajar terlibat...Mahu tunjuk simpati kononnya. Kutip tabung `celeng’ untuk pelajar. Lepas itu.. tiga bulan akan datang senyap, reda,” katanya.

Bagi saya Ahmad Said sekali lagi menyerlahkan lagi sifat beliau sebagai seorang menteri besar yang ‘kurang cerdik’, gopoh bertindak dan terkenal dengan amalan politik berdendam.
Pelajar-pelajar ini tidak sedikitpun melakukan sebarang bentuk jenayah dan mengancam keselamatan negara malahan mereka dibenarkan berhimpun secara aman oleh pihak berkuasa Mesir.

Persoalannya,  apa salahnya pelajar-pelajar ini yang berhimpun secara aman dengan memakai baju kuning Bersih? Walaupun ribuan pelajar Malaysia telah berhimpun di serata dunia menyokong tuntutan Bersih 2.0, setakat ini tidak ada sebarang tindakan yang diambil oleh mana-mana agensi di bawah Kerajaan Pusat seperti PETRONAS, TNB mahupun dari pihak JPA sendiri terhadap pelajar tajaan mereka.
Yang peliknya Kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ahmad Said sahaja berlagak sombong dengan bertindak bersendirian menarik balik biasiswa pelajar-pelajar Terengganu yang terlibat dalam himpunan Bersih itu.

Lebih ‘kurang cerdik' lagi apabila Menteri Besar Terengganu ini mencabar PAS untuk membiayai yuran pengajian pelajar-pelajar tersebut.

Apakah beliau tidak sedar bahawa PAS di Terengganu hanya sebuah parti politik dan bukannya kerajaan yang memerintah.

Sekiranya PAS yang memerintah, bukan sahaja pelajar-pelajar ini di bela, malahan semua anak Terengganu yang layak dan menuntut di pusat-pusat pengajian tinggi di dalam dan luar negeri akan di berikan biasiswa dan dermasiswa dan bukannya lagi pinjaman di bawah Yayasan Terengganu atau PTPTN seperti yang ada sekarang ini.

Apa tidaknya. Dengan hanya membatalkan dan membetulkan projek-projek tempang dan membazir yang di laksanakan oleh kepimpinan Ahmad Said  di Terengganu sekarang ini seperti Stadium Sultan Mizan bernilai RM300 juta yang runtuh, Pesta Monsoon Cup yang bernilai jutaan ringgit dan berjalan setiap tahun dan projek Zoo yang bernilai hampir RM100 juta di Bukit Takal Kemaman sudah lebih dari mencukupi bagi membiayai setiap anak Terengganu yang belajar di dalam dan luar negeri.

Namun inilah realiti cara berpolitik Umno Terenganu di bawah kepimpinan Menteri Besar Ahmad Said. Ianya penuh dengan tindakan yang tidak rasional dan dendam kesumat. Bagi beliau, menarik balik biasiswa pelajar-pelajar yang terlibat dalam himpunan Bersih  bukannya suatu perbuatan ‘khianat kepada anak bangsa sendiri’ tapi merupakan satu ‘tanggungjawab’.
Malah pelajar-pelajar ini di anggap sebagai ‘perosak’ kepada agenda kerajaan kerana terpengaruh dengan sentimen politik dan menyertai kumpulan penentang kerajaan.

Ya, agenda kebangkitan anak muda di seluruh negara adalah amat penting bagi membela pelajar-pelajar kita di Mesir yang teranaiya ini.

Keangkuhan kepimpinan Menteri Besar Terengganu mesti diajar oleh seluruh anak muda di negara kita. Keadilan akan hanya di capai dengan semangat pengorbanan seluruh anak muda bagi melihat masa depan Malaysia yang lebih adil dan bersih.

0 Komen pengunjong :