ISA: Najib tidak minta maaf

ISA: Najib tidak minta maaf

TIDAK ada sebarang isyarat pada Perdana Menteri Najib dan kerajaan Barisan Nasional bahawa ISA yang zalim yang berusia 52 tahun tidak betul. Padanya dan pada mereka bahawa ISA tetap betul dan dikehendaki.
Ia dimansuhkan dan diganti dengan yang lain bukan kerana ia tidak betul dan bukan kerana zalim tetapi ialah kerana akta itu dibenci oleh umum dan ia sudah bertambah tidak popular.
Selama ini bermati-matian UMNO dan Barisan Nasional mempertahankan sebagai suatu yang baik dan amat diperlukan untuk keamanan dan keselamatan negara. Kerana ada ISA itulah kononnya keamanan dan kestabilan politik terjamin sejak merdeka. Atas hikmat itulah negara maju dan pelaburan serta pelancong datang mencurah-curah.
Oleh kerana ISA itu sudah berjasa kepada negara, kerajaan dan rakyat, ia dikira terlalu penting, maka mengapa pula ia dimansuhkan?
Sebenarnya ISA tidak ada apa-apa hikmah kepada negara dan rakyat. Hikmahnya hanya ia dapat digunakan untuk mempertahankan kuasa UMNO dalam kerajaan.
PRU 1959 UMNO hilang dua negeri iaitu Kelantan dan Terengganu. Ia adalah amaran mungkin ada lagi negeri yang hilang dalam PRU selepasnya. Tahun 1960 ISA dicipta kononnya untuk membendung komunis. Menjelang PRU 1964 ramai pemimpin pembangkang seperti Dr. Burhanuddin Al-Hilmy, Dato Raja Hanifah, Ahmad Boestamam, Pak Sako, Aziz Ishak dan lain-lain dikenakan tindakan ISA atas alasan bersubahat dengan konfrontasi Indonesia.
Ketika UMNO piminan Tun Razak dan Hussein Onn berkrisis dengan Pemuda UMNO atas isu UMNO dikatakan disusup komunis, ia tahanan beberapa orang pro kerajaan seperti Abdullah Ahmad, Abdullah Majid dan A. Samad Ismail, tetapi pemimpin pembangkang seperti Kassim Ahmad dan lain-lain juga ditahan.
Ketika Pemuda UMNO di bawah Najib berentap dengan MCA yang menyokong Menteri Lee Kim Sai, mereka tidak ditahan tetapi Operasi Lallang diadakan menahan ramai pemimpin pembangkang termasuk Mat Sabu, Kit Siang, Karpal Singh dan lain-lain. Mereka cekup sama pemimpin Pemuda UMNO iaitu Fahmi Ibrahim, Ibrahim Ali dan Tajuddin Abdul Rahman tetapi mereka ditahan untuk dibebaskan.
Gara-gara Ibrahim Libya terlepas dari cekupan, polis menyerbu Memali menyebabkan 14 orang awam termasuk Ibrahim Libya bersama 4 anggota polis terbunuh. Ramai juga cedera.
Yang bercerai, putus mata pencarian, pelajaran anak-anak tergendala dan lain-lain adalah angkara undang-undang rimba ini.
Apa jua keburukannya UMNO dan kerajaan tetap berbangga kononnya ISA adalah berhikmah. Tetapi kempen anti ISA mahu ia dimansuhkan terus mendapat sokongan. Ada menteri UMNO meletak jawatan dan keluar UMNO kerana tidak setuju dengan dasar ISA. Ia perkembangan baru pada UMNO.
Penyatuan pembangkang sebelum dan selepas PRU Mac 2008 secara berani mengeluarkan Buku Jingga menjanjikan ISA akan dimansuhkan dalam masa 100 hari Putrajaya ditawan.
Janji itu tidak boleh dipandang remeh. Ia membulatkan sokongan bukan Melayu dan peratus Melayu yang bersetuju juga ramai. Gerakan anti ISA ini boleh menjadi malapetaka kepada UMNO.
Bukan kerana Najib dan kerajaan memandang ISA itu buruk, tetapi mempertahan akta yang besar jasanya kepada UMNO selama ini tidak lagi dapat membantunya.
Kemungkinan tumbang oleh hantu ISA itu lebih mudah. Betapa sayang Najib dan UMNO kepada ISA, ia sudah tidak membantu. Ia terpaksa melepaskan apa yang amat disayang kerana ia sudah tidak banyak gunanya. Atas nama transformasi politik dan undang-undang Najib cuba laksanakan janji Buku Jingga sebelum sempat Pakatan Rakyat berkuasa.
Ia curi senjata pembangkang dengan harapan kuasa tidak cicir. Ia cuba beri beberapa keburukan ISA dibandingkan dengan akta gantinya. Tetapi sedikit pun kerajaan BN dan penyokong tidak menyesali kezaliman ISA selama 52 tahun itu.
Ia belum mahu minta maaf. Orang pun tidak mahu memaafkannya.

0 Komen pengunjong :