Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyelar kenyataan Datuk Bandar
Kuala Lumpur, Ahmad Fuad Ismail (gambar bawah) dalam beberapa respon
beliau mengenai Perhimpunan Aman BERSIH 3.0 yang akan diadakan pada 28
April 2012.
Terdahulu,
beliau menyatakan penolakan kelulusan kepada BERSIH untuk menggunakan
Dataran Merdeka kerana kononnya perhimpunan ini bukanlah program
bersifat nasional dan berteraskan politik. AMK berharap Datuk Bandar
tidak lupa apabila pada 27 Jun 2009, Dataran Merdeka juga menjadi medan
pelancaran logo 1Malaysia yang jelas merupakan kempen politik berterusan
UMNO-BN sehingga kini.
Jika dibandingkan dengan BERSIH, motif
BERSIH lebih jelas dan transparen : memperjuangkan sistem pilihanraya
yang adil dan telus. Solidariti telah ditunjukkan oleh rakyat Malaysia
di luar negara, malahan masyarakat antarabangsa seantero dunia turut
bersama-sama menyatakan sokongan mereka ke atas BERSIH 3.0 ini.
Terkini
pada 25 April 2012, Datuk Bandar sekali lagi memberi amaran kepada
BERSIH bahawa tindakan keras akan diambil jika mereka meneruskan hasrat
untuk berhimpun di Dataran Merdeka pada 28 April ini. Alasan yang
diberi ialah Dataran Merdeka berada di bawah tangungjawab DBKL melalui
kuasa Datuk Bandar melalui undang-undang yang digunapakai sejak 1992 dan
ini, kononnya, jelas bertentangan dengan Akta Perhimpunan Aman 2011.
AMK melihat kenyataan Datuk Bandar ini jelas bersifat "
mala-fide",
dalam keadaan beliau bersikap selektif dalam menentukan apa jenis
program yang boleh dianjurkan di Dataran Merdeka. Malah, kenyataan ini
juga sebenarnya menimbulkan pertikaian apabila beliau kemudiannya
menawarkan beberapa lokasi lain. Apa bezanya jika Dataran Merdeka
menjadi lokasinya? Mengapa perlu perubahan lokasi dicadangkan di
saat-saat terakhir? Apakah mereka khuatir jika Dataran Merdeka menjadi
saksi gelombang kuning kebangkitan rakyat menolak penyelewengan sistem
pilihanraya Malaysia?
AMK melihat ini jelas merupakan
sekatan-sekatan politik yang dilakukan oleh UMNO-BN, di mana kemungkinan
suspek terbesar ialah Menteri Wilayah Persekutuan dengan
"memperkudakan" institusi Datuk Bandar Kuala Lumpur dan DBKL untuk
menghalang dan mencetuskan provokasi awal ke atas BERSIH 3.0.
AMK
menggesa agar Datuk Bandar tidak bersikap angkuh dengan siri-siri
kenyataan yang hanya menunjukkan kegusaran mereka untuk berhadapan
dengan ketidakpuasan hati rakyat. AMK turut mendesak agar Perdana
Menteri, sekiranya benar beliau komited dengan agenda wassatiyyah, tidak
bersikap jumud dengan menyalahgunakan agensi kerajaan seperti DBKL
untuk menghalang rakyat menyuarakan pendapat mereka.
Adalah amat
malang, apabila agenda membersihkan sistem pilihanraya nasional daripada
elemen penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan juga penggunaan
pengundi-pengundi yang diragui statusnya. Tindakan menghalang BERSIH
3.0 hanya membuktikan bagaimana pihak-pihak ini sanggup menggunakan
segenap kuasa yang mereka ada - termasuk menghalalkan penyelewengan
pilihanraya - demi memastikan UMNO-BN terus berkuasa.
0 Komen pengunjong :