Bersih 3.0 : Duduk dan Bantah Bermula


Kuala Lumpur 28 Apr – Tepat jam 2 petang para peserta perhimpunan duduk dan bantah Bersih 3.0 mula bergerak menghampiri Dataran Merdeka dan mengepung kawasan tersebut dari semua arah.
Dianggarkan lebih daripada 50,000 peserta menghadiri perhimpunan tersebut setakat ini dan masih menanti kehadiran ramai lagi yang disekat di luar Kuala Lumpur.
Peserta kini tertumpu di tiga kawasan utama mengepung Dataran iaitu, Jalan Tun Perak, dari Masjid Jamek Kuala Lumpur arah ke Dataran Merdeka; Lebuh Pasar Besar di Pejabat Majlis Peguam dan juga dari arah Masjid Negara.
Kumpulan yang awal pagi tadi berhimpun di Jalan Petaling dan Jalan Sultan telah bergerak bersama yang lain menuju perimeter Dataran Merdeka dan kedua-dua tempat itu kini lengang.
Namun begitu menurut laporan Malaysiakini, Sasterawan Negara A. Samad Said diberitakan telah dihalang daripada meninggalkan stesyen LRT Pasar Seni apabila jejantasnya dihalang oleh anggota polis.
“Sudah berminggu saya gunakan jejambat ini,” katanya. “Ini kali pertama dalam hidup saya tidak dibenarkan lalu.” Pak Samad kelihatan duduk bersimpuh dengan sekeping sejadah di lantai jejantas sambil dikerumuni peserta lain yang turut terhalang, sambil membacakan bait-bait puisinya.

–/ Roketkini

0 Komen pengunjong :