Shahrizat menyerahkan kedudukannya sebagai senator kepada Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 4 Mac — Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyerahkan kedudukan beliau sebagai Senator kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Tempoh perkhidmatannya selaku senator akan berakhir bulan depan.
“Semuanya terpulang kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri,” katanya mengikut agensi berita Bernama petang ini.
Masa depan ketua Wanita Umno ini bergantung kepada keputusan Najib.
Tempoh khidmat seorang senator Dewan Negara adalah tiga tahun untuk setiap penggal. Mengikut undang-undang, senator hanya boleh berkhidmat untuk dua penggal.
Shahrizat dilantik sebagai senator pada 9 April 2009, selepas dikalahkan oleh pendatang baru PKR Nurul Izzah Anwar semasa Pilihanraya Umum 2008 di kerusi parlimen Lembah Pantai. Shahrizat dilantik kepada kedudukan menterinya pada hari keesokaannya.
Najib juga pernah memberitahu pemberita bahawa adalah kuasanya sebagai perdana menteri untuk menentukan masa depan Shahrizat.
“Tidak, tidak, tidak dibincang di sini. Dan ini adalah terletak di bawah hak kuasa perdana menteri,” kata beliau selepas mesyuarat majlis tertinggi Barisan Nasional (BN) pada 15 Februari.
Perdana Menteri ke-enam tersebut merujuk kepada keengganan Shahrizat untuk bersara dari kedudukan politik dan kerajaanya, berikutan kritikan ke atasnya mengenai kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC). Kritikan terhadapnya turut datang dari ahli-ahli biasa parlimen di partinya sendiri.
Shahrizat merupakan salah seorang ahli Kabinet yang menganugerahkan projek tersebut kepada keluarganya di 2006.
NFC menjadi berita hangat apabila termasuk dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara 2010, dan terus menjadi topik kontroversi apabila ianya dikaitkan dengan Shahrizat dan keluarganya.
Shahrizat telah mengambil cuti selama tiga minggu dari tugas-tugas menterinya untuk membolehkan pihak berkuasa menjalankan penyiasatan.
Beliau telah dipersoalkan oleh Malaysian Anti-Corruption Commission (MACC) pada hari pertama selepas pulang bekerja.
Pemimpin dari pihak pembangkang serta dari Barisan Nasional, termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, telah berkata bahawa Shahrizat sepatutnya meletakkan jawatan.
Akan tetapi, beliau tetap bertegas bahawa dia tidak melakukan apa-apa kesalahan tetapi hanya isteri kepada Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, pengerusi eksekutif Korporasi Fidlot Nasional (NFCorp), syarikat swasta yang diberikan tanggungjawab mengendalikan bisnes menternak lembu. Tiga anak mereka turut memegang kedudukan eksekutif di syarikat tersebut.
PKR telah membuat tuduhan bahawa NFCorp telah menggelapkan dana yang sepatutnya digunakan untuk projek penternakan lembu, dan menggunakan dana tersebut untuk membuat belian yang tidak berkaitan seperti pembelian beberapa kondominium mewah di Bangsar dan Singapura, tanah di Putrajaya, serta untuk lawatan umrah persendirian.
Aset syarikat ini dibekukan selepas penyiasatan ke atasnya dimulakan.
NFC telah ditubuhkan di 2007 untuk memberikan sekuriti makanan serta mencapai kemampuan diri sebanyak 40 peratus dalam pengeluaran daging lembu.

0 Komen pengunjong :