Video klip hina hudud: Noh mesti bertindak

Video klip hina hudud: Noh mesti bertindak

KUALA LUMPUR- Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar mesti bertindak kepada individu yang dikaitkan dengan video klip Sembang Rakyat yang menghina hukum hudud.
AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, Noh tidak boleh melepaskan diri dalam isu ini kerana individu yang sama yang menguruskan blog anggota Parlimen Tanjung Karang, laman web Puteri Umno Selangor dan Umno Tanjung Karang, di samping blog Pena Noh.
"Beliau mesti menunjukkan sikap tegas membenteraskan golongan yang menghina hukum Allah.
"Bukankah sekarang Umno Selangor begitu tegas "memelihara akidah" rakyat Selangor," kata Idris dalam kenyataannya.
Beliau mengulas kenyataan Noh Omar yang menafikan beliau terlibat dengan pembikinan video klip dalam Sembang Rakyat itu.
Baru-baru ini, Harakahdaily menyiarkan laporan satu video klip yang menunjukkan bukti-bukti kaitan antara video Sembang Rakyat dengan Noh Omar.
Email penerbit video Sembang Rakyat yang menerbitkan video menghina hudud itu juga email yang tertera sebagai pengendali laman web rasmi Noh iaitu Pena Noh dan laman web Umno Bahagian Tanjung Karang yang diketuai Noh.
Email itu juga didapati ada kaitan dengan laman web Puteri Umno Selangor, menurut klip video yang diterbitkan oleh Malaysianews.
Harakahdaily menyiarkan berita ini 14 Disember lepas di bawah tajuk Video hina hudud ada kaitan dengan Noh Omar? tentang isu ini.
Idris memberikan ingatan, agar Noh Omar jangan lupa pula bahawa mereka yang menghina hukum Allah boleh terbatal akidah, bukan sahaja mereka yang tukar agama sahaja.
ika Noh Omar lupa perkara ini, beliau boleh merujuk Kitab Mastika Hadis jilid pertama keluaran Jabatan Perdana Menteri halaman 225-229, kata Idris .
Di dalam kitab tersebut menjelaskan dengan ditil perkara yang membatalkan akidah, beritahu Idris.
Bagi beliau, Noh perlu menunjukkan sikap tegas dan bertindak kepada pembuat video klip ini jika benar seperti yang dituduh.
Jika beliau tidak bertindak maka beliau redha dan restu terhadap perbuatan tersebut, katanya.
Idris memberikan ingatan azab Allah pedih dan kekal selama-lamanya bagi mereka yang terlibat.
"Janganlah kerana politik maka sanggup menghina Allah dengan tukaran dunia yang murah," katanya lagi.
Sekarang, kata Idris, terbukti siapa yang menghina hukum Allah, sebelumnya Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang begitu lantang menghina hukum Allah, Noh Omar dan pemimpin Umno menikus tidak menegur tindakan Presiden MCA.

0 Komen pengunjong :