Umno sengaja takut-takutkan orang-orang Melayu

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mendakwa Umno-Barisan Nasional (BN) sengaja menimbulkan ketegangan dan ketakutan di kalangan orang-orang Melayu khususnya, tentang apa yang akan terjadi nanti apabila Umno hilang kuasa.
“Umno akan menggunakan apa saja cara yang untuk merampas kembali Selangor dari Pakatan Rakyat,” ujar beliau ketika bertemu pemberita di pejabat khidmatnya di sini hari ini.
Berikutan itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri itu mengingatkan pemimpin-pemimpin Pakatan supaya tidak merasa kedudukan mereka sudah selesa pada masa ini memandangkan pilihan raya umum ke 13 (PRU13) akan diadakan tidak lama lagi.
“Ini memandangkan terdapat kajian dan laporan yang memberi gambaran yang negatif, seperti ada kemungkinan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat Selangor akan tumbang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini berhubung laporan dalaman yang menyatakan Umno-BN mampu merampas kembali Selangor.
“Oleh itu, kita jangan merasa selesa dan Pakatan mempunyai saluran yang luas untuk bertemu dengan rakyat, terutama orang-orang
Melayu.
“Banyak saluran yang boleh kita gunakan…….seperti saluran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, ahli-ahli majlis, nazir masjid yang bebas dan bukan dimonopoli Umno. Sekarang ini saluran itu terbuka dan bebas,” katanya.
Beliau berkata Umno sebenarnya sudah menyimpang jauh dari perjuangan asal parti itu apabila menonjolkan sikap ultra Melayu dengan menyertai Himpunan Perdana Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) di Shah Alam Isnin lalu.
Khalid berkata ucapan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dalam majlis Pekida itu menunjukkan bahawa Umno tidak lagi layak untuk mentadbir negara ini memandangkan mereka kini sudah menjadi ultra Melayu.
“Selama ini Umno cukup takut untuk mendekati Pekida secara terbuka tetapi kini keadaan sudah berubah dan Najib sendiri meminta supaya Pekida membantu mempertahankan kerajaan BN di Putrajaya.

0 Komen pengunjong :