PETALING JAYA: Kebimbangan kepada persaingan sistem dua parti dalam menentukan masa depan politik negara adalah faktor utama pendaftaran Pakatan Rakyat di tolak.
“Saya merasakan penolakan pendaftaran Pakatan Rakyat adalah bukti sebenar bahawa Pakatan punya kekuatan untuk menyingkirkan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam PRU ke 13,” kata Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat negeri Perak, Drs Khalil Idham Lim.
Beliau yang juga ahli dewan undangan negeri Titi Serong berkata demikian ketika mengulas tindakan Pendaftar Pertubuhan (ROS - Registrar Of Societies) menolak permohonan Pakatan Rakyat untuk mendaftarkan nama tersebut sebagai satu entiti politik.
“Perkata ini tidak sepatutnya berlaku dan saya membantah tindakan pilih kasih dan tidak demokratik itu,” kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, Pakatan telah mengikut lunas-lunas perlembagaan yang telah disediakan oleh kerajaan, sepatutnya hasrat tersebut disambut baik bukannya ditolak mentah-mentah.
“Prestasi yang baik yang ditunjukkan oleh semua negeri yang diperintah oleh gabungan tiga parti PAS, PKR dan DAP sepatutnya menjadi alasan yang kuat kepada ROS untuk meluluskan pendafaran Pakatan Rakyat,” jelas beliau.
Khalil Idham menerangkan sebelum ini telah banyak parti politik baru yang diluluskan pendaftarannya walaupun belum ada rekod pentadbiran seperti Pakatan. Permohonan merekalah yang sepatutnya ditolak.
“Kerana itu saya ingin menasihati penjawat awam yang terlibat supaya cubalah terapkan dan buktikan bahawa diri mereka ada nilai profesional, janganlah terlalu memandang bahawa kerajaan pusat Umno-BN sebagai segalanya, kerana ini bakal mengundang pandangan negatif kepada badan kerajaan.
Beliau mengingatkan pihak berkenaan bahawa penolakan terhadap pendaftaran Pakatan Rakyat tidak akan meredakan gelombang penolakan rakyat terhadap BN.
“Kami akan pastikan BN dihukum setelah sekian lama khianat kepada amanah yang diberikan oleh rakyat lebih 50 tahun,” ujar beliau.
0 Komen pengunjong :