SHAH ALAM : Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua pihak memahami erti kemerdekaan dan maksud sebenar pembentukan Malaysia bahawa ia adalah hasil usaha semua pihak tanpa mengira ideologi.
Malah, Anwar menegaskan negara kini berada di persimpangan sementara rakyat mahu mengetahui sejarah sebenar perjuangan kemerdekaan serta berhasrat menolak cerita dongeng ciptaan pemerintah.
"Sejarah diseleweng demi kepentingan sesetengah pihak sahaja sekaligus menafikan perjuangan golongan lain yang bersama bertungkus lumus menentang penjajahan.
"Mana mungkin, kita menafikan perjuangan tokoh-tokoh yang dilatari pelbagai faham perjuangan, baik dari gerakan Islam, aliran kiri mahupun dari aliran kanan. Mereka ini walaupun berbeda pandangan, hakikatnya punyai matlamat yang sama, iaitu mahu tanah air kita merdeka dari penjajah," tegas beliau dalam kenyataan itu.
Beliau berkata demikian merujuk pada pertikaian dan polemik yang timbul ekoran beberapa pihak cuba menafikan terus sumbangan golongan kiri seperti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya, Angkatan Pemuda Insaf, Parti Komunis Malaya serta lain-lain yang langsung tidak dipedulikan oleh UMNO sebagai menyumbang demi kemerdekaan sebaliknya dianggap pengkhianat kerana memusuhi British.
Katanya, walaupun PKR menolak ideologi Komunisme, namun mereka tidak menafikan sumbangan mereka dalam menentang penjajah tidak patut dianggap sebagai mengkhianati negara.
Sebaliknya Anwar berkata, pengkhianatan sebenar adalah penindasan dan kezaliman yang digunakan sewenang-wenangnya oleh mereka yang berkuasa.
"Polemik Mat Indera yang tercetus baru-baru ini menggasak pimpinan Umno bertindak balas dengan nada emosi. Retorika seumpama pengkhianat dan tidak kenang budi dicanang seluruh negara sedangkan rujukan seperti karya berjudul “Pengukir Nama Johor” terbitan Yayasan Warisan Johor serta disunting Profesor Dato’ Abu Bakar A. Hamid dan Md Ismail Zam Zam itu menjelaskan Mat Indera antara mereka yang gigih menentang penjajahan British,"
Menurut Anwar lagi, menjadi keangkuhan jika sumbangan golongan yang dianggap tidak sehaluan langsung tidak diperdulikan sedangkan mereka turut berkorban dan menyumbang khidmat demi memastikan kedaulatan tanah air yang tercinta.
"Jikalau kita jujur berhadapan dengan sejarah, ternyata selain dari Dato’ Onn dan Tunku Abdul Rahman, ramai lagi seumpama Dr Burhanuddin al Helmi, Ishak Haji Muhammad, V.T Sambathan, Tan Cheng Lock, Rosli Dhobi di Sarawak dan Mat Salleh di Sabah ternyata gigih menentang penjajahan terutamanya penjajahan British.
"Tidak wajar dilupakan juga sumbangan tokoh persuratan seumpama Syed Sheh al Hadi dan Pendita Zaaba yang berusaha membina kesadaran membawa pembaharuan kepada masyarakat," katanya.
Beliau turut membidas peranan intelektual yang hanya tahu membodek golongan berkuasa tanpa perasaan hormat ibarat satu pembelotan kepada kebenaran.
"Teguran Almarhum Profesor Syed Hussein Alatas sepertimana yang terkandung dalam karyanya Intelektual Masyarakat Membangun janganlah dikesampingkan. Intelektual atau para sarjana jangan dihinggapi penyakit “Bebalisme,” suatu penyakit malas berfikir, kelesuan intelektual dan takut menyatakan yang benar," kata beliau
Justeru, Anwar menyeru agar rakyat menghayati erti sebenar kemerdekaan sebagai sebuah negara yang benar-benar bebas dan mengamalkan pentadbiran yang adil serta bebas tanpa menindas sesiapa.
"Kita rakyat Malaysia tidak mahu suatu pemerintahan yang sekadar menggantikan regim penjajah, sekadar bertukar bekas sedangkan isi dicurah dan disisihkan. Oleh kerana itu kita tuntas menuntut agar dikembalikan Semangat Kemerdekaan dan dipenuhi pula Makna Pembentukan Negara Malaysia itu," kata beliau.
0 Komen pengunjong :