Seorang lagi bekas tentera hari ini tampil mendakwa pernah terlibat menyalahguna undi pos semasa berkhidmat atas arahan pegawai atasannya.
Nasir Mohamad (
kiri) yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai bekas "kerani" di kem Sandakan, Sabah berkata, kejadian itu berlaku ketika pilihan raya umum ketujuh pada tahun 1986.
"Saya bersama seorang kerani diarah buka karung undi... (kami) diarah pegawai atasan buka uncang undi dan diarahkan memangkah. Kertas undi itu lebih kurang 900 keping, termasuk tentera dan isteri mereka.
"Saya diarah bahagi dua, kawan saya, namanya Ayub Mat ambil 400 lebih, saya ambil 400 lebih (kertas undi). Saya diminta undi ikut citarasa saya," katanya dalam majlis anjuran Pemuda PAS di sebuah hotel di Ampang pagi tadi.
Menurut Nasir lagi, oleh kerana dia "mungkin BN" pada masa, maka undi diberikan kepada parti pemerintah itu.
"Saya ambil hak orang lain yang sepatutnya undi kertas itu. Tetapi saya sebagai tentera kena
yes men (jadi penurut)," katanya lagi yang tamat perkhidmatan dengan tentera pada tahun 1998.
Kes yang hampir sama didakwa berlaku pada Oktober 2009 apabila bekas "sarjan gaji" Abu Kassim
mengakui pernah memangkah BN bagi pihak tentera lain dalam dua pilihan raya umum – pemalsuan undi yang selama ini hanya digembar-gemburkan oleh pembangkang.
'Bukan jumpa kerani Datuk Wan'
Hadir sama dalam majlis pendedahan "penipuan" sistem pilihan raya itu antaranya Pengarah Pilihan Raya PAS Mohd Sany Hamzan dan Pengerusi Sekretariat Mobilisasi dan Pemulihan Demokrasi Pemuda PAS Suhaizan Kaiat.
Sementara itu, Nasir ketika ditanya kenapa beliau tampil membuat penjelasan selepas hampir lebih 20 tahun, beliau mengakui "takut" sebelum ini.
"Tetapi apabila saya lihat tidak lagi terikat dengan sebarang perintah tentera, sebab itu sekarang saya berani," katanya sambil memberitahu rasa terpanggil bertanggungjawab terhadap sistem demokrasi negara ini.
Nasir bagaimanapun buat masa itu tidak mempunyai sebarang rancangan untuk memanjangkan kes yang disimpannya selama 25 tahun itu kepada pihak SPR.
"(Ia) bergantung kepada keadaan," kata Nasir lagi yang kini bergiat bersama PAS.
Sementara itu, Suhaizan pula berkata, ketika pihaknya mengetengahkan dakwaan Abu menjelang pilihan raya kecil Bagan Pinang dua tahun lalu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof berjanji perkara itu tidak akan berulang.
"Tetapi kalau sistemnya sama, ia masih boleh boleh berlaku. Saya cakap ini dengan Tan Sri Aziz, saya jumpa dengan dia.
"Saya bukan jumpa kerani (timbalan SPR) Datuk Wan Ahmad (Wan Omar), saya jumpa bos Datuk Wan Ahmad," kata Suhaizan dengan nada menyindir.
Terlalu teknikal
Dalam forum pasca 9 Julai yang menyaksikan Wan Ahmad dan Pengerusi BERSIH S Ambiga sebelum ini, Wan Ahmad pernah menolak soalan teknikal daripada peserta dengan menyifatkan ia sebagai "soalan kerani".
Sementara itu, dalam pembentangan lebih dua jam kepada media hari ini, Suhaizan membentangkan pelbagai data dakwaan "penipuan" yang dikumpulkannya dalam pilihan raya Bagan Pinang dan Sibu sebelum ini.
Banyak disentuh berhubung undi pos yang "terlalu teknikal" yang didakwa terdedah kepada banyak ruang manipulasi, antaranya penjualan kertas undi di pasaran gelap dan kuasa terhadap petugas SPR dan pemantau di kem tentera.
Dalam masa yang sama, beliau menimbulkan persoalan sama ada SPR benar-benar berhasrat memperkenalkan pengundian awal bagi menggantikan undi pos kerana sehingga sekarang belum ada sebarang pindaan dibuat.
"Kalau pilihan raya bulan 11 ini adakah dia boleh buat? Nak buat (pindaan) kena bawa Dewan Rakyat, Dewan Negara lagi. Jadi pilihan raya akan datang pakai sistem apa?" soalnya.
Sehubungan itu, Suhaizan mencadangkan, undi pos hanya mestilah melibatkan pihak yang mempunyai tugas-tugas kritikal sahaja, contohnya tentera di perbatasan.
"Isterinya tak perlulah terlibat, dia (isteri tentera) kerja lain pun. Kalau undi awal pula, buat luar kem, kerana dalam kem kawalan lebih sukar," katanya yang juga ketua Pemuda PAS Johor.
0 Komen pengunjong :