KUALA LUMPUR: Pasukan peguam Anwar sudah bersedia dengan langkah seterusnya jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor enggan memberi keterangan di mahkamah walaupun disapina Isnin depan.
Demikian dinyatakan peguan Anwar, Ram Karpal Singh, sewaktu bercakap kepada KeadilanDaily.com petang tadi.
“Kami sudah ada beberapa langkah yang akan diambil jika Najib dan Rosmah tidak mahu ke mahkamah walau pun diberikan notis sapina oleh mahkamah (Isnin nanti).
“Langkah itu akan dibincangkan dengan pasukan peguambela.
“Buat masa ini saya tidak dapat kongsikan apakah langkah tersebut kerana segalanya tertakluk kepada keputusan hakim Isnin nanti,” kata Ram Karpal.
Najib dan Rosmah kini berdepan tindakan sapina kerana enggan hadir ke mahkamah memberi keterangan dalam kes Fitnah II. Mereka termasuk dalam senarai 15 saksi yang mahu ditemubual oleh pasukan peguambela Anwar apabila perbicaraan memasuki peringkat pembelaan Isnin nanti.
Najib dan Rosmah sebelum ini dilaporkan menemui pengadu dalam kes Fitnah II, Saiful Bukhari Azlan beberapa hari sebelum laporan polis mendakwa beliau kononnya diliwat Anwar dibuat.
Tindakan Najib dan Rosmah yang enggan ke mahkamah untuk memberi keterangan juga dilihat hampir sama dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang turut enggan ke mahkamah memberi keterangan walau pun bertindak sebagai dalang utama kes Fitnah 1998 dahulu.
0 Komen pengunjong :