Melayu terus pecah sebab Najib lemah, dakwa Mufti Perak

SHAH ALAM, 24 Ogos ─ Tan Sri Harussani Zakaria buat pertama kali mendedahkan beliau pernah menegur Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkaitan tiga perkara menyentuh perpecahan orang Melayu yang berterusan - banyak diperkatakan sejak pilihan raya umum 2008.
Tanpa menyebut bila pertemuan dengan Najib diadakan, Mufti Perak ini berkata, perpecahan Melayu yang berlaku disebabkan pentadbiran negara yang cukup lemah, rasuah dan tidak amanah.
“Saya kata (kepada Najib) perpecahan Melayu yang berlaku ini disebabkan kerajaan yang cukup lemah, rasuah dan tidak amanah,” katanya pada pada Wacana Ulama Politik Untuk Dakwah Atau Parti anjuran Sinar Harian hari ini.
Pada majlis itu, Harussani juga berkata orang Melayu berpecah selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998.
Najib menjadi perdana menteri keenam pada April 2009, menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Kata Harussani, berbeza dengan Tun Abdul Razak Hussein, perdana menteri kedua itu melaksanakan tiga perkara yang bercanggah dengan hukum Islam.
“Perayaan Thaipusam hanya setahun sekali tapi di Pulau Pinang sebulan sekali, mereka masuk ke kampung Melayu... dalam perlembagaan Islam agama negara tapi agama lain bebas diamalkan di kalangan mereka sedangkan di kampung itu hanya ada seorang (yang beragama) Hindu tapi masuk ke kampung Melayu... saya jumpa Abdul Razak dan dengar apa yang saya katakan.
“Kedua 14 tokong yang guna nama-nama Melayu, saya tunjuk gambar (kepada Abdul Razak)... kes sama di Pulau Pinang, kemudian semua dibuang dan ketiga kongsi raya, saya kata syirik, saya kata kita raya kita, sesama kita, kemudian masing-masing sambut raya masing-masing,” katanya.
Bagaiamanapun kata Harussani, beliau pernah mencadangkan tiga perkara kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi tetapi ditolak.
Beliau tidak menggariskan tiga perkara yang dimaksudkan.
Sebelum ini isu perpecahan Melayu acap kali dibangkitkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu termasuk Perkasa yang diketuai Datuk Ibrahim Ali.
Harussani sebelum ini berkata pernah melahirkan mahu menjadi orang tengah untuk membincangkan kerjasama politik antara Umno dan PAS.
Baru-baru ini Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata apa yang sedang berlaku di Malaysia sekarang ini ialah perpecahan masyarakat Melayu dilihat semakin parah kerana terlalu mengejar agenda masing-masing.
“Saya melihat sekarang ini dengan penuh kebimbangan perpecahan yang sedang berlaku dalam masyarakat Melayu sangat parah. Mereka bukan sahaja berpecah daripada kelompok parti politik malah dalam NGO juga berpecah dan dalam organisasi pun turut berpecah.
“Tidak sepakat dalam hal-hal yang menyentuh mengenai kepentingan rakyat... agenda perjuangan kita yang sebenar pun kita sudah lupa,” katanya.
Beliau berkata kalau pemimpin dan orang Melayu masih tidak insaf, mereka terpaksa menerima hakikat bahawa mereka mungkin akan hilang kemerdekaan.
Beliau berkata sehingga kini ahli-ahli politik tidak boleh mengambil pendirian bersama dalam isu-isu yang menyentuh kepentingan agama, bangsa dan negara kerana mereka masing-masing terlalu meterialistik hendak mendapatkan kuasa, ganjaran dan pangkat yang akhirnya mereka lupa apa perjuangan mereka yang sebenar.

0 Komen pengunjong :