Maria Chin: Najib tak pernah tawar Stadium Shah Alam


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak pernah menawarkan Stadium Shah Alam kepada sekretariat BERSIH 2.0 untuk berhimpun pada 9 Julai lalu bagi menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara.

Ahli jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah  berkata Najib jelas mahu kembali meraih kepercayaan rakyat dengan mendakwa beliau menawarkan stadium itu tetapi ditolak sekretariat.

"Itu adalah fakta, kalau dia masih nak teruskan dia ada cakap demikian bagi kita buktilah dalam media di mana dia kata (tawar stadium) Shah Alam?" kata Maria ketika dihubungi TV Selangor, semalam.

Maria bagaimanapun mengakui, Najib memang menawarkan supaya perhimpunan itu dilakukan di dalam stadium, namun beliau tidak sesekali pernah menamakan stadium yang dimaksudkannya, sehinggalah sekretariat BERSIH memutuskan untuk berhimpun di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

"Saya rasa sangat kecewa apabila beliau (Najib) memutar-belitkan kenyataan sebelum ini yang beliau (ada) tawarkan Stadium Shah Alam.

“Dalam kenyataannya sebelum ini Najib tidak pernah menyebut atau menawarkan mana-mana stadium sehingga kami (penganjur BERSIH) memutuskan memilih stadium Merdeka.

“Najib harus memberitahu perkara sebenar," kata Maria dengan nada kesal.
Layanan baik

Najib semasa merasmikan Persidangan Tahunan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (MSLS) Kelima Ahad lalu mendakwa beliau sebenarnya mahu menawarkan Stadium Shah Alam untuk himpunan BERSIH, namun ditolak.

“Kita cadangkan stadium tapi tidak diterima, mereka masih mahu turun ke jalan.

"Dalam pemikiran saya, saya mahu berikan Stadium Shah Alam tapi mereka tolak,” kata Najib.

Najib juga mendakwa, beliau menawarkan untuk himpunan itu diadakan di stadium berikutan ia adalah saluran yang betul dan menjamin keselamatan peserta perhimpunan.

“Kita mahu ia (perhimpunan) dilakukan ikut saluran yang betul, sebab itu kita tawarkan stadium. Mengapa kita tawarkan stadium? Supaya mereka boleh berucap dan tidak turun ke jalanan kerana tiada sesiapa yang boleh jamin perhimpunan di jalan tidak akan timbulkan apa-apa masalah," kata Najib.

Mengulas kenyataan itu, Maria menerangkan sebaik sahaja dinasihati Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin agar perhimpunan BERSIH diteruskan di stadium, sekretariat akur dan memilih Stadium Merdeka.

Namun, tatkala itu Najib mengubah kenyataannya dan berkata, mana-mana pertubuhan yang ingin berhimpun mestilah berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Tindakan itu menyaksikan peserta BERSIH tetap mahu mematuhi arahan Yang di-Pertuan agong dan cuba berkumpul di Stadium Merdeka.
Namun usaha mereka gagal, kerana bukan sahaja disekat tetapi dihambat oleh pihak berkuasa dengan air berkimia dan gas pemedih mata.

Tidak kurang 1,600 orang juga ditangkap manakala ramai lagi yang cedera dan mendakwa diri mereka dikasari.
Najib dan pihak polis bagaimanapun menafikan semua dakwaan itu dan berkata peserta diberi layanan baik. Malah, kerajaan juga menerbitkan video-video bagi membuktikan, peserta itu tidak dikasari dan sememangnya diberi layanan yang baik.

0 Komen pengunjong :