MyPR-MyKad : PAS dakwa sindiket dilindungi BN hadapi PRU-13


KUALA LUMPUR, 3 Ogos — PAS mendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menukar status kewarganegaraan dalam kadar yang cepat sambil menyifatkan ia dilakukan oleh “sindiket” yang dilindungi Barisan Nasional (BN) demi mengekalkan kemenangan pada pilihan raya umum ke-13.
Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, langkah JPN “membenarkan” pemastautin tetap menukar status kepada warganegara adalah amat tidak bertanggungjawab.
Selain itu, beliau percaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut terlibat dalam “sindiket” itu.
“Perbuatan ini amat tidak bertanggungjawab dan saya tidak tahu bagaimana JPN boleh menukar status pemastautin tetap dalam tempoh hanya beberapa jam.
“Saya percaya ia dilakukan oleh sindiket, yang mana SPR, JPN dan sindiket ini yang beri laluan (untuk menukar status) selain diberi perlindungan oleh BN,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Ahli Parlimen Kubang Kerian ini menambah, pihaknya masih mengumpulkan maklumat lanjut mengenai perkara itu sambil menambah, ia juga berlaku di negeri-negeri lain sebagai persediaan BN dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13, yang dijangka diadakan penghujung tahun ini.
“Bagaimana seorang pemastautin tetap yang memegang kad pengenalan merah (MyPR) boleh tukar status dalam masa yang singkat? Sudah pasti ia dilakukan oleh sindiket yang mendapat perlindungan daripada kerajaan untuk menjadikan mereka ini sebagai pengundi.
“Kita ada bukti ... dan kita juga sedang mengumpulkan maklumat lanjut mengenai perkara ini, kita juga akan semak daftar pemilih untuk pastikan perkara yang sebenar,” katanya.
Tambah Salahuddin, tindakan menukar status kewarganegaraan membuktikan BN adalah parti yang tidak bermaruah dan sanggup menang dengan apa jua cara termasuk “permainan kotor.”
Semalam PAS Wilayah Persekutuan mendedahkan telah mengenal pasti 52 nama dalam daftar pemilih yang mana kesemua mereka adalah pemastautin tetap tetapi bertukar status apabila disemak dalam sistem SPR.
Kata Pengarah Jabatan Pilihan Raya Wilayan Persekutuan Abdul Halim Hassan, pihaknya telah menyemak status kesemua individu itu pada sebelah pagi dalam sistem JPN dan ia mengatakan mereka adalah pemastautin tetap.
Bagaimanapun apabila menyemak di pejabat SPR Wilayah Persekutuan pada sebelah petang, kesemua pemegang kad pengenalan MyPR itu bertukar kepada warganegara dan boleh mengundi.
Perkara sama juga pernah dibangkitkan pimpinan Pakatan Rakyat di Selangor dan Kelantan berhubung pengundi hantu dan pemberian kad pengenalan kepada warga asing.
Selain itu, Pakatan Rakyat juga mendakwa BN mendaftarkan warga asing sebagai rakyat negara ini melalui operasi “MyDaftar.”
Sementara itu, Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilasasi Dewan Pemuda PAS pusat, Suhaizan Kaiat menegaskan, sistem biometrik yang diperkenalkan SPR tidak harus dilaksanakan “penipuan dan penyelewengan” telah berlaku di peringkat dasar.
“SPR cadang sistem biometrik tapi apa yang kita tahu data pengundi akan diambil daripada sistem data JPN, kalau JPN boleh menukar status kewarganegaraan jadi apa lagi yang kita boleh haramkan dengan sistem biometrik ini?
“Apa jaminan sistem biometrik ini kalau JPN boleh memanipulasikan status kewarganegaraan yang mana pemastautin tetap boleh bertukar kepada warganegara dalam masa yang sangat singkat ... beberapa jam sahaja,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata Putrajaya masih mempunyai masa untuk melakukan perubahan dengan melaksanakan lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).
Lapan tuntutan Bersih adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
“(Kerajaan) masih ada masa ... masih ada masa untuk buat perubahan, tuntutan Bersih 2.0 perlu dilaksanakan sekiranya kerajaan benar-benar serius mahu buat perubahan.
“Kerajaan perlu lakukan reformasi agensi kerajaan secara besar-besaran,” kata Suhaizan.
Jelas beliau, pihaknya setakat ini telah mengenal pasti ribuan pemastautin tetap telah bertukar status kewarganegaraan dengan Selangor mencatat jumlah tertinggi.
“Kita ada semua maklumat ini, kita ada beribu nama pemastautin tetap ini, seluruh Semenanjung Malaysia ada dan setakat ini kita masih belum menerima maklumat tentang sabah dan Sarawak.
“Apa-apa pun kita akan terus mengumpulkan maklumat dan saya minta agar kerajaan serius,” katanya.

0 Komen pengunjong :