PETALING JAYA: Presiden PAS Abdul Hadi Awang menganggap tindakan media arus perdana mahu dilihat sebagai juara mempertahankan Islam dalam isu serbuan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) sebagai usaha untuk memancing undi Melayu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Beliau menyifatkan kenyataan media milik Umno dalam isu gereja lebih bersifat apa yang disebut oleh Imam Ali bin Abi Thalib k.w. sebagai “ucapan yang zahirnya benar tapi matlamatnya kebatilan.”
Pada 3 Ogos lalu, sekumpulan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu gereja berkenaan di Seksyen 13, di sini ekoran kehadiran sekumpulan penganut Islam pada majlis makan malam anjuran gereja tersebut.
Menulis dalam Harakah keluaran terbaru, Hadi berkata matlamat media arus perdana dan Umno ialah untuk memancing undi Melayu Islam yang buta Al Quran bagi PRU ke 13.
“Mereka mahu meneruskan agenda warisan penjajah iaitu Islam yang terpimpin bukannya Islam yang memimpin. Islam menjadi agama yang diperintah dan ditadbir, bukannya Islam yang memerintah dan mentadbir.
“Hasilnya masjid boleh digeledah, tidak ada perbezaan dengan gereja dan imam boleh diambil tindakan bukan kerana kesalahan agama tetapi kerana kononnya kesalahan berpolitik dalam masjid.
Memisahkan agama dengan politik
“Politik pula dipisahkan dari agama sama seperti juga pemisahan agama dengan politik dalam lain-lain agama selain dari Islam,” terangnya.
Menurut beliau, ketika Islam dalam keadaan berkuasa di Madinah, Rasulullah saw mengizinkan penganut agama lain hidup dalam masyarakat Islam secara aman dengan menjadikan rakyat yang wajib dilayan secara adil tanpa paksaan dalam agama menerusi perjanjian bertulis yang dimeteraikan.
“Dalam masa yang sama Islam mewajibkan penganutnya mempertahankan Islam, yang menjadi hak kepada penganut Islam sendiri dan kerajaannya,” katanya.
Ujar Hadi, “berlaku zalim terhadap penganut agama lain juga adalah haram sehingga Rasulullah saw memberi amaran neraka kepada orang Islam yang mengkhianati perjanjian yang sebenarnya adil.
Beliau lalu memetik ayat 40 dari Surah Al-Hajj, firman Allah swt yang bermaksud:
“Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan sesetengahnya yang lain, nescaya runtuhlah biara- biara serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi) dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang didalamnya banyak disebut nama Allah.”
Rasulullah saw menafsirkan perintah Allah secara amalan; apabila Islam melarang penganut Islam menceroboh gereja dan paderi walaupun ketika berlakunya perang maka sudah tentulah ketika damai keadaan ini lebih wajib dipelihara.
Beliau mengajak umat Islam membuka Al Quran dan mengamati ajaran Rasulullah saw dan para sahabat serta ulama muktabar yang menunjukkan cara beramal yang sebenarnya, bukan melalui media dan pengampu di jalanan.
0 Komen pengunjong :