Perbezaan antara mubahalah dan sumpah biasa


PETALING JAYA: Sumpah ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah bagi membuktikan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam klip video seks bukanlah sumpah laknat (mubahalah) kerana ia tidak menepati hukum syarak.
Menurut mantan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin, mubahalah membawa pengertian berikut:
“Dua pihak berkumpul bersama ahli keluarga kemudian kedua-dua pihak memohon agar Allah swt melaknat sesiapa yang berdusta antara keduanya pada perkara yang mereka berselisih dalam hal agama.”
Peristiwa mubahalah disebut dalam Al Quran, ayat 61 Surah Ali Imran, yang bermaksud, “Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka:
“Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu.
“Kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta.”
Seorang pakar akidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah dan Ilmu Hadis, Abu Syafiq Al-Asy’ary yang menulis di dalam blognya, berkata bahawa sumpah dan mubahalah mempunyai pengertian berbeza.

Kebenaran dalam agama

Pengertian mubahalah adalah seperti yang disebutkan di atas dan dilakukan pada perselisihan tegar antara pandangan kedua-belah pihak pada perkara berkaitan kebenaran dalam agama.
Dalam Surah Al Imran ayat 59 hingga 61, Allah swt berfirman bermaksud:
“Sesungguhnya bandingan (kejadian) Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka jadilah ia.
“Kebenaran itu datang daripada Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau menjadi di kalangan mereka yang ragu-ragu.
“Kemudian sesiapa yang membantahmu (Wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka:
“Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, isteri-isteri kami serta isteri-isteri kamu, dan diri kami serta diri kamu.
Kemudian kita memohon kepada Allah serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta.”
Sumpah disebut sebagai halaf caranya seperti dimulakan kenyataan seseorang itu dengan dia menyebut perkataan Wallahi atau Billahi atau Tallahi (bersumpah dengan nama Allah) dengan maksud apa yang dinyatakan adalah benar (tanpa ada melaknat pihak yang lain).
Surah An-Nur ayat 4, sepertimana yang tertera di dalam laman sesawang Jabatan Perdana Menteri menyatakan seperti berikut:
Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.
Dalam tafsir Ar Rahman, cetakan 1980, menafsirkan ayat yang sama seperti berikut:
“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi maka sebatlah mereka delapan puluh sebat dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.
Berdasarkan perlakuan Shazryl yang melafazkan sumpah laknat tanpa membawa empat orang saksi di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul Jumaat lalu maka beliau boleh dijatuhkan hukuman ‘Qazaf’ iaitu dengan 80 kali sebatan Sumpah laknat yang dilafazkan oleh Shazyrl bukanlah sumpah mubahalah dan tidak menepati hukum syarak, sebaliknya bersumpah biasa sahaja bagi membuktikan dirinya benar.
Jumaat lalu, di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, Eskay melafazkan sumpah laknat bagi membuktikan bahawa Anwar adalah pelaku dalam klip video seks yang ditayangkan kepada pihak media di Carcosa 21 Februari lalu.

1 comment :

  1. smlm dr asri dah suruh anwar bersumpah utk pertahan maruah..tggu ape lagi?kalau statement dr asri yg untungkn korang bukan main lg diuar-uarkan..skang ni camne nak sumpah ke x?

    ReplyDelete