Kematian kedua individu disiasat SPRM semalam mendesak keperluan rakyat agar menggesa kerajaan menubuhkan segera Suruhanjaya Bebas Aduan Polis (IPCC), kata Suaram hari ini. Pagi semalam, Ahmad Sarbani Mohamed iaitu penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia, ditemui mati di tingkat satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan, Jalan Cochrane di sini.
“Kematian terbaru di SPRM adalah titik tolak terakhir. Rakyat Malaysia mesti menuntut dengan segera penubuhan IPCC,” kata penyelaras Suaram Dr Kua Kia Soong dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Kua, beberapa pertubuhan bukan kerajaan meminta agar pihak berkuasa menubuhkan suruhanjaya diraja siasatan, tetapi tidak harus dilupakan bahawa syor agar diadakan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) sebenarnya datang daripada Suruhanjaya Diraja Polis pada 2004.
“Ia sepatutnya telah ditubuhkan pada 2006,” kata Kua lagi.
Bagaimanapun katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga kini tiada iltizam politik untuk melaksanakan syor Suruhanjaya Diraja Polis itu.
Tambah beliau, kerajaan telah mengetepikan kehendak rakyat dan juga telah membazirkan wang pembayar cukai bagi perjalanan suruhanjaya tersebut.
“IPCC proaktif dalam menyiasat aduan-aduan terhadap polis dan juga agensi-agensi penguat kuasa selain (kes-kes) kematian yang wujud.
“Mereka juga menyiasat apa jua elemen rasuah yang disyaki dalam pasukan polis dan agensi-agensi penguat kuasa meskipun mereka tidak menerima sebarang aduan,” kata Kua yang turut menggariskan kes-kes kematian tahanan yang disoal siasat polis.
“Biar saya memperingatkan rakyat, selain dua kematian di SPRM, kematian semasa dalam tahanan polis, ditembak polis, kematian di kem tahanan juga telah dipantau oleh Suaram sejak beberapa tahun lalu,” katanya lagi.
Pada 2000, menurut maklumat, tujuh orang mati dalam tahanan polis manakala 33 ditembak mati, 2001 (16 dan 14), 2002 (15 dan 54), 2003 (23 dan 27); 2004 (19 dan 23), 2005 (14 dan 12), 2006 (14 dan 27), 2007 (11 dan 9), 2008 (13 dan 44) dan 2009 (tujuh dan 88).
Selain itu katanya, pada Mac 2007 kerajaan mengumumkan bahawa ada 95 kematian di pusat tahanan Simpang Rengam dari 2000 hingga 2007.
“Pada April 1999, kerajaan mendedahkan ada sebanyak 635 kematian kerana ditembak polis dalam tempoh 10 tahun kebelakangan,” katanya.
“Selain SPRM, juga ada insiden-insiden tidak diingini dan menyeksa termasuk angkatan tentera (dalam kes enjin jet hilang), tindakan Suruhanjaya Sekuriti ke atas wartawan dan juga Lembaga Hasil Dalam Negeri,” katanya.
Justeru kata beliau, hanya IPCC yang boleh menyelesaikan isu salah guna kuasa oleh polis dan mana-mana agensi penguat kuasa.
“Di bawah sistem semasa, mahkamah koroner mempunyai keberkesanan terhad disebabkan kualiti hasil siasatan dan bukti yang diketengahkan,” katanya lagi.
Kata Kua, sekiranya kerajaan tiada kekuatan politik untuk menangani masalah semasa ini bagaimana pihak berkenaan boleh bercakap mengenai transformasi.
Kua melahirkan pandangan ini ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan di Sarawak bahawa pentadbirannya tiada rancangan untuk mengadakan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes tersebut.
Pelbagai pihak meminta agar Putrajaya mengadakan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes terbaru ini.
Menurut SPRM, Ahmad Sarbani datang ke pejabat SPRM WIlayah Persekutuan pagi semalam tanpa diarah untuk datang membantu siasatan susulan.
Bagaimanapun rakan-rakannya dan Kesatuan Pegawai-pegawai Kastam Semenanjung sangsi Ahmad Sarbani pergi ke pejabat SPRM tanpa dipanggil.
Ahmad Sarbani merupakan salah seorang daripada 62 pegawai Kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B dijalankan SPRM sejak awal minggu lalu.
Ia kejadian kedua dalam dua tahun ini. Kes kematian Teoh Beng Hock, yang ditemui jatuh dari Plaza Masalam, yang menempatkan pejabat SPRM Selangor, pada Julai 2009 masih disiasat oleh suruhanjaya diraja.
Dalam satu kenyataan awal petang ini, SPRM berkata ia telah menahan kerja dua pegawainya ekoran insiden kematian pegawai Kastam di premis pejabat agensi itu pagi semalam.
Kedua-dua mereka ditahan kerja untuk tujuan siasatan kerana dikatakan melanggar perintah berhubung pengendalian saksi atau pelanggan di premis SPRM di mana pegawai-pegawai tersebut dikatakan gagal berada bersama saksi atau pelanggan sepanjang masa mereka berada dalam premis agensi antirasuah itu.
Kenyataan itu menambah, hasil siasatan dalaman iitu setelah selesai kelak akan dibentangkan di Jawatankuasa Aduan SPRM.
Polis tahan kambing gemar kejar orang
21 hours ago
0 Komen pengunjong :