SMM Tolak Politik Kotor


KUALA LUMPUR 10 APRIL: Solidariti Mahasiswa Malaysia, SMM menganjurkan Jelajah Mahasiswa Selamatkan Rakyat sebagai tanda menolak elemen politik kotor yang sedang melanda negara.

Program jelajah ini juga merupakan usaha mahasiswa untuk berkongsi maklumat serta pendapat mereka tentang senario politik di Malaysia hari ini.

Pengerusinya, Ahmad Syukri Ab Razab berkata, program jelajah ini juga dibuat berikutan kebimbangan  mereka terhadap kecelaruan nilai politik  yang semakin terhakis.

“Kita di peringkat Mahasiswa berasa risau dan khuatir dengan keadaan semasa politik negara, yang saban hari terpalit isu-isu politik kotor serta menggambarkan kearah kehancuran.
"
“Nilai politik negara ini semakin terhakis dan integriti kepimpinannya juga berada dalam keadaan yang cukup membimbangkan,"katanya.

Menurut Ahmad Syukri, kerajaan harus memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan masa depan negara dan generasi pelapis.

“Kepimpinan tertinggi negara perlu memandang suasana yang berlaku dalam negara kini adalah suasana yang cukup gawat dan tidak ada jaminan masa depan langsung,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional, Mohd Syahid Mohd Zaini berkata, mahasiswa juga memainkan peranan penting dalam usaha mendidik masyarakat selain menyeru masyarakat untuk bangkit dan bersatu dalam mengembalikan demokrasi negara.

“Kita ingin bersama masyarakat memberitahu bahawasanya kita akan menolak sepenuhnya politik kotor dan kita tidak bersetuju dengan apa yang sedang berlaku kini. Sama seperti apa yang berlaku di kampus kami juga dan kita minta kembalikan demokrasi yang tulen.
"Kita juga minta di peringkat mahasiswa semua sedar dan bangkit bersama untuk mengembalikan demokrasi dan autonomi kepada kita supaya mahasiwa yang lahir dari universiti akan menjadi lebih berkualiti dan bebas daripada cengkaman mana-mana parti politik,” katanya.

Kira-kira 50 wakil mahasiswa dari seluruh IPT di Lembah Klang menyertai siri jelajah ini yang mula berkumpul seawal jam 10 pagi di KL Sentral sebelum meneruskan siri jelajahnya ke Seremban.

Mereka menggantung Placard yang tertera ‘Bebaskan Mahasiswa’, ‘Saya Anti Rasuah’ dan ‘Tolak Pendidikan Seks’ dengan memakai topeng mulut.

Antara wakil pimpinan mahasiswa yang hadir adalah dari Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Gerakan Mahasiswa Se-malaysia (GAMIS) dan Kumpulan Anak Muda Independant (KAMI).

Namun usaha SMM tersebut gagal apabila pihak polis bertindak menahan dan merampas kad pengenalan lapan pelajar tiga petugas media sebelum dibawa ke Balai Polis Travers untuk diambil keterangan atas pertuduhan menyertai perhimpunan haram.

Turut sama ditahan seorang jurukamera TV Selangor, Muhammad Naim Abu Bakar, serta wartawan dan jurugambar Keadilandaily.com.

Bagaimanapun ketiga-tiga mereka yang ditahan dibebaskan kira-kira jam 1.00 tengahari tadi.

Manakala lapan pelajar yang ditahan dibebaskan dengan jaminan polis sekitar jam 4.20 petang tadi.

0 Komen pengunjong :