Siapa Lebih Bijak Berpolitik, Najib Atau Taib?


SHAH ALAM 13 APRIL : Perdana Menteri Najib Tun Razak perlu mengimbau pengalamannya sendiri sebelum menyajikan alasan  soal pengganti  Taib Mahmud harus mengikut jadual perubahan yang dipersetujui oleh kedua-dua pemimpin itu.
Taib malam tadi  mengesahkan bahawa beliau akan terus berkuasa untuk beberapa tahun lagi, namun Najib, mungkin kerana peka kepada sentimen rakyat Sarawak tidak mahu memberi pengesahan.
Namun Najib harus berpandukan isu pengganti Taib ini kepada pengalaman dirinya sendiri ketika ditabalkan menjadi Perdana Menteri.   
Sejurus selepas Barisan Nasional hilang kuasa di empat negeri dan kelebihan majoriti dua pertiga di Parlimen pada Mac 2008, pemimpin-pemimpin kanan Umno, dengan sokongan Mahathir Mohamad menggerakkan agenda untuk memaksa Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan.
Tawaran Abdullah sendiri untuk berundur selepas dua tahun ditolak oleh pemimpin berkenaan. Yang paling lantang mengkritik pelan itu adalah Muhyiddin Yassin kerana berpeluang menjadi Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri jika Pak Lah berundur.
Tentunya yang mengaut keuntungan paling besar adalah Najib selaku Perdana Menteri baru. Seorang lagi yang tersenyum lebar adalah Mahathir, kerana peralihan kuasa itu sekali lagi memberi beliau pengaruh untuk membina masa depan anaknya Mukriz dalam Umno.
Hakikatnya adalah, pelan peralihan dua tahun yang ditawarkan oleh Abdullah ditolak dan Najib dan Muhyiddin diangkat menerajui Umno dan Malaysia pada April 2009.
Ketika itu, tidak timbul soal “rakyat akan terkejut jika ada peralihan mendadak atau  pelan menggantikan Taib  disusun dengan rapi supaya tidak merencatkan masa depan rakyat dan negara,” seperti mana yang dicanang oleh Najib dan Taib di Sarawak ketika ini. 
Yang penting bagi Najib dan Muhyiddin ketika itu ialah mengambil kesempatan atas “kelemahan” Pak Lah dan merebut kuasa untuk diri mereka sendiri dengan meniupkan sentiment anti-Pak Lah  dalam Umno ketika itu.
Di Sarawak,  Najib tentunya akur bahawa sebilangan besar rakyat Sarawak mahukan Taib berundur dengan kadar segera.
Kehadiran orang ramai di ceramah-ceramah pembangkang sejak 6 April lalu mencerminkan sentimen sedemikian di peringkat akar umbi.
Meskipun demikian,   Taib sekali lagi  menegaskan beliau akan terus menjadi Ketua Menteri untuk beberapa tahun yang akan datang.  
Di Sarawak, Taib memegang kuasa mutlak untuk menentukan hala tuju politik beliau dan parti-parti BN di negeri itu. Mahathir sendiri gagal untuk memujuk Taib berundur pada tahun 2000.
Tidak ada apa-apa yang berubah sejak itu.
Hakikat bahawa  Najib tidak “berani’ mengulas kebingkasan  Taib  menyifatkan sebagai “bodoh” tindakan-tindakan yang diambil oleh Putrajaya untuk menyelesaikan kemelut Al-Kitab menunjukkan seolah-olah Perdana Menteri sendiri tunduk kepada telunjuk Taib.
Rakyat amat sangsi bahawa wujud sebarang persetujuan antara Taib dan Najib berhubung pengunduran Ketua Menteri itu. Ini  lebih-lebih lagi apabila Taib masih lantang  mengumumkan beliau akan terus berkuasa “untuk beberapa tahun akan datang.”.
Jika ada pun sebarang pelan peralihan kuasa,  Najib dan Taib harus mendedahkannya kerana rakyat  perlu menilai sama ada mereka menerima rancangan sedemikian atau tidak sebelum mengundi pada Sabtu ini.
Pengalaman BN pada masa-masa lalu, membuktikan Malaysia tidak pernah mempunyai pelan peralihan kuasa yang dilaksanakan dengan sepenuhnya.
Lihat sahaja bagaimana Allahyarham Tunku Abdul Rahman,  Tun Hussein Onn, malah Mahathir sendiri mengejutkan rakyat dengan persaraan mereka.
Dalam kes Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein, persaraan mereka terikat kepada politik dalaman Umno yang berhubung kait dengan Tun Mahathir. 
Dan persaraan Mahathir sendiri didorong oleh kesedaran bahawa jangka hayatnya sebagai Presiden Umno  sudah luput kerana orang Melayu semakin menolaknya. 
Jadi soal pengunduran Taib tidak harus menimbulkan kesangsian bahawa Sarawak akan “kelam kabut” jika beliau berundur secara mendadak .
Jika Malaysia boleh melalui peralihan kuasa sedemikian, Sarawak tentu boleh!
Kita percaya jika Taib, BN  dan Putrajaya tidak mengasuh dan menyediakan pemimpin pelapis untuk mengambil alih daripada Taib sehingga sekarang, maka mereka dengan sendirinya telah gagal melaksanakan amanah rakyat.
Namun yang lebih membimbangkan adalah  kenyataan Taib bahawa beliau akan berkuasa untuk beberapa tahun akan datang, bermaksud cengkaman beliau ke atas negeri ini akan berterusan sekurang-kurangnya untuk masa terdekat.

-/TVSelangor

0 Komen pengunjong :