Kempen Mega Akhir PR, Obor Perubahan Semakin Marak


KUCHING 15 APRIL : Kurang 24 jam sebelum hari pembuangan undi pilihan raya negeri Sarawak, kempen mega akhir Pakatan Rakyat khususnya oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bermula sejak pagi semalam, dilihat kian mendapat sambutan rakyat.

Di pekan kecil dalam DUN Sadong Jaya pagi semalam, lebih 2,000 rakyat pelbagai kaum mendengar amanat Anwar.

Kempen mega akhir itu turut menyaksikan penampilkan bercama calon PAS di DUN Sadong Jaya sendiri, iaitu Abang Eddy Abang Fauzi.

Dalam ucapannya di sini, Anwar mengajak rakyat bangkit mempertahankan hak masing-masing antara lain hak tanah adat Bumiputera (NCR) yang selama 30 tahun di bawah Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, seakan dirompak secara terbuka.

"Kamu semua hambakah dalam ini negeri, apa negeri ini orang (Barisan Nasional) punya. (Apakah) ini negeri Menteri punya. Apakah tanah ini bukan (milik) kamu semua.

"Mengapa kita miskin. Apa kita kuli (sehingga) tanah kita boleh diambil sesuka hati...kita sama-sama angkat (bangkit) dan lawan mereka," antara persoalan Anwar yang menggamit sokongan luar biasa di sini.

Mesej yang sama turut disampaikan Anwar di hadapan lebih 1,500 rakyat - majoriti Melayu di satu  perkampungan kecil dalam DUN Sadong Jaya yang ditandingi calon PKR, Arip bin Ameran.

Lebih 3,000 rakyat gamat menyambut Anwar dalam "kempen mega akhir" di Bazaar Serian dalam Parlimen Serian sebelam malamnya dengan laungan  "reformasi" dan "Ubah Sarawak".

Kebanyakan mereka terdiri daripada masyarakat berbangsa Tiong Hua.

Di Taman BDC, diperhatikan tidak kurang 3,000 rakyat menyambut Anwar.

Dalam ucapan di pentas bantahan, Anwar memberitahu perubahan yang bakal dibuat rakyat Sarawak esok ini sangat penting kerana bakal meninggalkan kesan berantai di Semenanjung Malaysia pada pilihan raya umum ke-13 kelak.

Justeru jika serahan pilihan raya negeri Sarawak ke-10 berjaya mewujudkan "Tsunami Politik" dan ditakdirkan Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan Putrajaya, beliau memberi jaminan akan menurunkan harga minyak dalam masa 24 jam.

Tidak cukup dengan itu, beliau berjanji untuk menaikan kadar royalti minyak dari 5 peratus sekarang ke 20 peratus demi meningkatkan kualiti hidup rakyat di Sarawak.

"Kempen mega akhir" Anwar yang berakhir lewat malam tadi di DUN Samariang paling gamat di mana lebih 5,000 rakyat hadir menyertai kempen selamatkan Sarawak dari terus diperintah oleh Barisan Nasional.

Turut hadir adalah beberapa pemimpin utama Pakatan Rakyat seperti Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim bin Tuan Man dan calon PKR di Dun Samariang sendiri, Zulrusdi bin Mohamad Hol.

Dalam ucapan penutupnya malam tadi, Anwar berkata, kemenangan Pakatan Rakyat di Sarawak akan membuktikan betapa kuasa rakyat mengatasi segalanya.

"Saya nak katakan semangat kebangkitan rakyat Sarawak sangat luar biasa.

"Mesej saya satu (iaitu) rakyat mesti buat keputusan (untuk menolak Barisan Nasional, suara rakyat suara keramat," tegas Anwar disambut tepukan gemuruh mereka yang hadir.

Bagaimanapun, mood perubahan rakyat ini tidak akan dilaporkan oleh media arus perdana seperti RTM1 dan TV3 sendiri demi menjaga kepentingan keluarga Taib.

Disebabkan itu, Anwar mengajak rakyat sekali lagi untuk menolak media-media pro Barisan Nasional yang dilihat seakan cuba membodohkan rakyat Sarawak, di sini.

"Jangan biar dan izinkan mereka anggap kita sebagai orang bodoh, jangan ingat kita ini kuli.

"Saya, di antara sebab lawan Barisan Nasional, sebab saya melihat mereka ini sudah takabur (dan) angkuh yang luar biasa," ujar Anwar.

Beliau turut mendedahkan propaganda Umno berjudul "Sayang Sarawak" terbitan TV3 yang baginya suatu usaha memperbodoh rakyat di sini.

"Malam-malam bunyi (disiarkan rancangan) Sayang Sarawak, Sayang Sarawak (tapi) rampas tanah Sarawak. Sayang Sarawak (tapi) harga barang naik. Sayang Sarawak (tapi) harga minyak pun naik. Sayang Sarawak (tapi) rakyat miskin merempat hidup (manakala) dua tiga menteri kaya raya melimpah hartanya," tegas beliau.

Bermula pagi ini ini, Anwar dijadualkan meneruskan "kempen mega akhir" sehingga tamat tempoh berkempen, iaitu tepat jam 12 tengah malam.

Sebanyak 71 kerusi DUN menyaksikan pertandingan pada pilihan raya kali ini.

Pakatan Rakyat, khususnya PKR menampilkan 49 calon berwibawa bagi misi selamatkan Sarawak dari terus diperintah secara tidak telus oleh Barisan Nasional. -

0 Komen pengunjong :