Kami berasa kesal dengan dua keputusan penting yang dibuat
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari ini berhubung
kes NFC/penglibatan Dato’ Seri Shahrizat Jalil serta tuduhan terhadap
Saudara Azmin Ali.
Sungguh pun rata-rata rakyat Malaysia sudah menjangkakan bahawa SPRM
akan melepaskan Dato’ Seri Shahrizat Jalil dari tuduhan rasuah bersabit
NFC, keputusan SPRM membuka siasatan terhadap Saudara Azmin Ali
benar-benar mendedahkan wajah sebenar SPRM.
Rakyat boleh menilai tindakan tangkas SPRM berhubung tuduhan terhadap
Saudara Azmin Ali walaupun laporan dan siasatan Badan Pencegah Rasuah
(BPR, pada ketika itu) telah menyatakan bahawa tidak ada unsur rasuah
ketika siasatan dibuat dalam tahun 1995.
Berbeza pula dengan pelbagai dolak dalih yang diberikan SPRM dalam
kes NFC dan Dato’ Seri Shahrizat Jalil, walaupun NFC dan menteri
bertanggungjawab membuat keterangan di Parlimen mengenai proses
pemberian tender kepada sebuah syarikat milik keluarga beliau.
Kami bentangkan fakta-fakta berikut agar rakyat boleh menghakimi sendiri tindak-tanduk SPRM dalam dua kes ini:
KES SAUDARA AZMIN ALI
1. Dato’ Shafee Yahaya, bekas Ketua Pengarah BPR telah membuat
kenyataan hari ini dan semalam bahawa siasatan mendapati tidak ada unsur
rasuah yang mewajarkan dakwaan ketika siasatan dibuat terhadap Saudara
Azmin Ali dalam tahun 1995;
2. Beliau menyatakan bahawa SPR mengesyorkan agar tindakan
disiplin dikenakan terhadap Saudara Azmin Ali bertepatan dengan
peraturan jabatan kerajaan;
3. Insiden dan fakta kes ini telah dinyatakan secara jelas di
dalam bukunya “The Shafee Yahaya Story” mukasurat 306, 326 dan 356.
KES NFC-DATO’ SERI SHAHRIZAT JALIL
1. Dato’ Seri Noh Omar telah menyatakan di Parlimen bahawa
tender NFC dibuat secara tertutup dengan menjemput hanya enam buah
syarikat, antaranya NFCorp dan Felda Farm Products Sdn Bhd. Hanya Felda
Farm Products Sdn Bhd yang mempunyai pengalaman dalam industri
penternakan, sedangkan NFCorp hanya baru ditubuhkan;
2. Berdasarkan peraturan umum perolehan dan tender mana-mana
badan (apatah lagi projek besar kerajaan), tindakan menganugerahkan
tender kepada sebuah syarikat yang tidak berkemampuan untuk
melaksanakannya adalah satu tindakan rasuah;
3. Ini bermakna, Jawatankuasa Tender Berimpak Tinggi yang
dipengerusikan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri telah melakukan
perbuatan rasuah dengan menganugerahkan projek bernilai RM250 juta
kepada NFCorp yang langsung tidak mempunyai pengalaman mengendalikannya;
4. Satu-satunya hubungkait (atau pertalian) di antara Dato’ Seri
Najib Tun Razak (sebagai pengerusi Jawatankuasa Tender) dan NFCorp
adalah Dato’ Seri Shahrizat Jalil melalui hubungan kekeluargaan beliau
(dengan NFCorp) dan hubungan politik (dengan Dato’ Seri Najib Tun
Razak).
Rakyat sudah tentu dapat membezakan bagaimana SPRM berhempas pulas
membuka fail siasatan baru terhadap Saudara Azmin walaupun tiada fakta,
tetapi melepaskan sahaja Dato’ Seri Shahrizat Jalil walaupun jelas satu
perbuatan pecah amanah telah berlaku.
Kami yakin SPRM tidak pun memanggil Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk
disoalsiasat walaupun beliau saksi utama yang perlu ditemuramah untuk
memahami kenapa tender RM250 juta dianugerahkan kepada NFC.
Malah, kami sendiri pelik kenapa kami tidak dipanggil untuk
disoalsiasat sedangkan kamilah yang paling ke depan membongkarkan
penyelewengan NFC?
Kami yakin bahawa rakyat telah memutuskan ada perlakuan rasuah di dalam kes NFC.
Tugas SPRM sekarang bukanlah menjadi kuda tunggangan Barisan Nasional
untuk membuka fail menyiasat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat di kala
pilihanraya begitu dekat. Tugas SPRM ialah menjawab persoalan-persoalan
mengenai kes pecah amanah besar seperti NFC.
Soalan kami mewakili rakyat Malaysia kepada SPRM:
Jika Dato’ Seri Shahrizat Jalil tidak terlibat, apakah ini bermakna
Dato’ Seri Najib Tun Razak yang pecah amanah kerana beliau (tanpa
dipengaruhi dan diminta oleh Dato’ Seri Shahrizat Jalil) menganugerahkan
tender RM250 juta kepada NFCorp yang tidak layak?
HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
KETUA WANITA KEADILAN
MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
.
0 Komen pengunjong :