Najib Serang Pakatan Rakyat Untuk Tutup Kepincangan Dalam Umno-BN

ZK3

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Zuraida Kamaruddin menyifatkan dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyelar pemimpin Pakatan Rakyat sebagai “sangat merbahaya dan anti-nasional” semasa konvensyen Barisan Nasional (BN) Ahad lalu sebagai tindakan yang biadap dan tidak mencerminkan ketokohannya sebagai seorang pemimpin Malaysia.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata hasutan dan fitnah yang dilemparkan tidak berasas sama sekali kerana Deklarasi Bersama Pakatan Rakyat menetapkan Pakatan Rakyat akan sentiasa mendukung prinsip kenegaraan dan patriotisme sebagai elemen utama perjuangan.

"Sebagai Pentadbir No.1 negara, PM seharusnya lebih memfokuskan kepada kerjanya, namun sebaliknya, PM sendiri asyik bermain retorik dan fitnah, moga dengan harapan agar rakyat akan lupa pada segala perlakuan sumbang dan penindasan Umno-BN selama ini.

"PM seharusnya menasihati Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu agar beliau dapat bermuhasabah diri atau melakukan introspeksi terhadap kelemahan diri, seperti yang disarankannya sendiri dalam ucapannya di Konvensyen tersebut.

"Tindakan sewajarnya harus dikenakan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang jelas seorang anti-nasional kerana sering kali membuat kenyataan berunsur rasis dan menimbulkan amarah dan kebencian rakyat," tegas Zuraida dalam kenyataannya semalam.

Tambah beliau, siri fitnah Najib adalah satu strategi desperado beliau bagi mengalih tumpuan daripada kemarahan rakyat akibat ‘pakej kenaikan harga 4 dalam 1 PM Najib Razak” (Air, Gula, Ron 97, Ron 95) dan isu dalaman Umno sendiri seperti konspirasi penangguhan pemilihan parti dan rombakan Kabinet yang akan berlaku tidak lama lagi.

"Penghinaan kepada kapasiti rakyat sebagai pendukung kerajaan apabila PM sendiri tidak menghormati kehendak dan pandangan rakyat, sebaliknya hanya membuat keputusan dengan mementingkan dan menjaga keuntungan kelompok kronisme semata-mata.

"Ingatan PM kepada empat "penyakit" yang sering melanda parti yang sudah lama berkuasa, iaitu khayalan, kelupaan, kejumudan dan keangkuhan adalah suatu pendedahan dan pengakuan kepada kebobrokan dan kepincangan Umno-BN selama ini.

"Andai benar ini petanda awal kepada tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13, pemimpin Pakatan Rakyat akan bersedia untuk menghadapinya, kerana nampaknya PM Najib sendiri sudah sedar bahawa rakyat semakin membenci Umno-BN dan keyakinan pada pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat terus meningkat. Lebih lama Umno-BN di Putrajaya, lebih banyak rasuah, kronisme dan salah guna akan berlaku," ujar Zuraida lagi.

0 Komen pengunjong :