Rakyat digesa supaya berwaspada dengan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencanang pertumbuhan ekonomi negara sebagai dinamis sedangkan Bank Pembangunan Asia sendiri hanya meramalkan pertumbuhan 5 peratus tahun depan.
Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad berkata sebaliknya keadaan ekonomi negara sebenarnya berada di dalam keadaan yang agak mencemaskan.
Model Ekonomi Baru tajaan Najib untuk menjadikan Malaysia berpendapatan tinggi mewajibkan negara mencapai pertumbuhan enam peratus setahun bagi mencapai pendapatan per kapita negara kasar sebanyak RM46,400 pada tahun 2020.
Meskipun keadaan ekonomi negara suram dari segi pelaburan, Najib masih menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi adalah pada landasan kukuh.
"Najib berkata demikian hanya kerana pilihanraya umum semakin dekat dan untuk menunjukkan kita hebat, pertumbuhan ekonomi memberangsangkan namun sebaliknya keadaan semakin parah dan mencemaskan,” kata Dr Dzulkefly.
"Kerajaan Umno-Barisan Nasional terus membuat penafian dan tidak mahu berdepan dengan hakikat ekonomi global sedang mengalami pengucupan," tambah beliau
Dr Dzulkefly turut mengingatkan Najib supaya tidak terlalu ghairah menyakinkan rakyat bahawa keadaan ekonomi berada di dalam keadaan baik.
Beliau berkata kemasukan pelaburan asing langsung (FDI) begitu suram dan Model Baru Ekonomi (MBE) bahagian dua yang dilancarkan Jumaat lalu turut tidak merangsangkan minat pelabur luar negara.
"Paling muktahir,penurunan permintaan pada suku ketiga terakhir berturut-turut dan mungkin juga berterusan pada suku keempat. Angka-angka pertumbuhan ini telah menurun selari dengan permintaan global.
"Yang betul-betul ada, cuma 'wang panas' yang masuk ke rantau asia dalam bentuk pelaburan portfolio dan bukan pelaburan yang memberikan peluang pekerjaan atau membawa masuk teknologi ke dalam negara ini," kata beliau.
Apa yang lebih membimbangkan, ujar Dr Dzulkefly adalah Malaysia tidak mustahil terjerumus dalam krisis ekonomi seperti yang berlaku pada tahun 1997 di mana institusi perbankan runtuh disebabkan hutang isi rumah melebihi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Tambah beliau, keadaan ini juga disebabkan ekonomi dunia terutamanya Amerika Syarikat yang sedang mengalami kelembapan ekonomi dan Eropah yang sedang bergelut dengan krisis kewangan, manakala China menghadapi tekanan untuk menaikkan nilai matawangnya.
0 Komen pengunjong :