PETALING JAYA, 28 Nov — Azmin Ali menegaskan beliau memenangi jawatan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan kekuatan sendirim bukannya kerana mendapat sokongan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kemenanganya dalam pemilihan PKR 2010 adalah kerana dipilih oleh ahli parti itu bukan kerana pengaruh dan sokongan Anwar.
“Seramai 30,000 ahli telah keluar mengundi semasa pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), mereka tidak kata macam itu (menang kerana pengaruh Anwar).
“Jadi jangan memperkecilkan ahli kerana mereka layak untuk memilih pemimpin untuk menerajui parti,” kata beliau pada sidang media selepas berakhirnya Kongres Nasional PKR di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini.
Azmin berkata Anwar memberikan sokongan kepada semua ahli dan pemimpin yang taat kepada parti.
“Anwar sokong semua yang taat kepada parti, jangan nak pertikaikan kesetiaan saya kepada parti.
“Saya sudah 12 tahun bersama parti dan 10 tahun menjadi naib presiden parti.
“Saya bukan pejuang baru, walaupun saya diserang selama ini saya tetap bersama parti,” katanya.
Tambah Azmin, beliau tiada masalah untuk bekerjasama dengan kepimpinan baru itu dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Semua 15 daripada 20 kepimpinan ini adalah muka baru, jadi saya boleh bekerjasama dengan mereka untuk memperkuatkan parti dan seterusnya memperkukuhkan Pakatan Rakyat.
“Saya juga langsung tiada masalah dengan presiden, saya sudah 12 tahun dalam parti. Jadi saya akan teruskan perjuangan reformasi parti.
“Kalau tengok dalam Utusan Malaysia dan TV3 mereka memang cuba nak melaga-lagakan kami tapi sebenarnya saya dengan presiden tiada masalah,” katanya.
Pada sidang media itu, Azmin berkata, kedudukan Mustaffa dalam parti akan dibuat dalam masa terdekat selepas Biro Politik PKR bermesyuarat.
“Ketua umum dah beritahu dalam ucapannya bahawa berdasarkan pengalaman dan komitmen yang ditunjukkan beliau, maka kita di Biro Politik akan membincangkan apa yang boleh dilakukan beliau.
“Pada mereka, sama ada yang terpilih atau tidak (pada pemilihan part), kita akan berikan mereka semua tugasan penting,” katanya.
Mustaffa dalam ucapan penggulungan berkata bahawa beliau menerima kekalahan tersebut dan berikrar akan terus kekal bersama parti.
Pada persaingan jawatan timbalan presiden itu, Azmin yang memenanginya memperoleh 19,543 undi daripada 218 cabang yang melakukan pengundian.
Mengenai pilihan raya Sarawak yang dijangka akan diadakan pada Mac tahun depan, Azmin berkata parti telah merangka apa strategi yang akan digunapakai kelak.
“Saya telah dijemput oleh Baru Bian (Pengerusi PKR Sarawak) untuk ke Sarawak bertemu dengan barisan kepimpinan dan saya akan ke sana pada 12 hingga 14 Disember, saya akan bertemu dengan masyarakat Sarawak untuk membincangkan isu ekonomi dan hala tuju negeri.
“Sebenarnya, Sarawak juga penting kepada PKR dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Terlebih dahulu ketika menyampaikan ucapan penggulungan, Azmin berkata beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan Anwar yang juga Ketua Umum PKR.
“Saya tidak apologetik. Nak kata saya rapat dengan Anwar Ibrahim, memang saya rapat.
“Nak kata saya sokong, memang saya sokong. Dan, saya tidak akan berundur bila di depan sahaja musuh dan dedalu politik,” katanya.
0 Komen pengunjong :