PETALING JAYA 28 NOV: Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan sebuah parti yang memupuk budaya mengampu pimpinannya, tapi parti yang tegas dan ikhlas mendukung demokrasi tulen.
Bekas Naib Presiden Mustaffa Kamil Ayub menegaskan kekalahan atau kemenangan seseorang pemimpin tidak akan melemahkan semagat mereka untuk terus berjuang demi kepentingan parti.
Menurutnya, beliau akan terus menggalas perjuangan Parti Keadilan Rakyat walaupun tidak dipilih sebagai Timbalan Presiden parti dan akan memainkan peranan seperti yang dimahukan parti bagi menjamin kemenangan Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya umum akan datang.
Beliau turut mengakui kemenangan Azmin Ali dalam Pemilihan 2010 dan sebagai seorang ahli yang memgang prinsip demokrasi akan memberikan sokongan penuh terhadap kepimpinan Azmin sebagai Timbalan Presiden PKR.
"Saya akur ada kelebihan terhadap Azmin. Oleh itu sama-sama kita menyokong kepimpinan beliau," umumnya dalam ucapan penggulungan terakhir beliau sebagai Naib Presiden Penggal 2004/2008.
Ikrarnya disambut tepukan gemuruh dengan laungan reformasi di kalangan pemimpin serta perwakilan yang hadir di persidangan tersebut.
Mustafa dan Azmin kemudian bersalaman dan menepuk bahu masing-masing tanpa penyatuan dan hubungan harmoni mereka yang diwar-warkan sebagai seteru sejak dahulu lagi.
Mustafa menyanggah tanggapan beliau merupakan 'orang Zaid' dan berpihak kepada bekas Pengerusi MPN Wilayah Datuk Zaid Ibrahim yang meninggalkan parti setelah tidak berpuas hati dengan Pemilihan 2010.
"Sekali itu saja saya menyokongnya, itupun ketika beliau masih ahli PKR bukan selepas beliau meninggalkan parti," tegas beliau merujuk kepada sidang media beliau di rumah Zaid
Walaupun dilihat sebagai tidak berpuas hati dengan Pemilihan, beliau turut menghargai Setiausaha Agung, Saifudin Nasution Ismail dan pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Dr Molly Cheah yang bertungkus lumus memastikan perjalanan Pemilihan berjalan lancar.
Mustafa menganggap teguran terhadap JPP itu adalah bagi penambahbaikan Pemilihan akan datang.
"Saya amat faham mengenai Pemilihan. Saya bagi pandangan sebab ini parti reformasi dan bukan parti puji-pujian sahaja," katanya lagi.
0 Komen pengunjong :