KUALA LUMPUR 25 Nov - Penggunaan kekerasan oleh sekumpulan 50 ahli dan penyokong Umno bagi menghalang forum membincangkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diadakan di sekitar kompleks Komtar Ahad lalu menunjukkan parti itu tidak mampu terbabit dalam perbincangan secara ilmiah berhubung isu yang melibatkan hak asasi rakyat.
Justeru itu sekumpulan enam badan masyarakat sivil mengecam tindakan Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Norman Dhalan dan Naib Presiden Persatuan Peniaga Komtar Abdul Ghani Mohammad Jiman yang didakwa menganggu majlis anjuran Gerakan Mansuhkan ISA Pulau Pinang
Kumpulan itu juga meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sikap anggota keselamatan yang tidak menjalankan tugas mengawal keadaaan pada ketika itu malah membenarkan pihak pengacau bertindak ganas serta langsung tidak menghormati pihak penganjur dengan cuba memberhentikan aktiviti aman tersebut.
"Ketua polis Pulau Pinang perlu bertanggung jawab terhadap insiden tersebut kerana secara jelasnya tindakan polis adalah berat sebelah dan tidak bersifat adil. Selain itu, tindakan susulan juga diperlukan terhadap anggota polis yang gagal menjalankan tugas pada masa tersebut.
Dalam masyarakat demokratik,dialog atau diskusi merupakan cara untuk menyelesaikan perbezaan pendapat. Sebagai contoh, pihak pengajur dan salah seorang penceramah Hishamuddin Rais pada masa itu telah menjemput Naib Presiden Persatuan Peniaga Komtar Abdul Ghani untuk memberikan ucapan mengenai pendirian mereka yang menyokong ISA, hal ini sejajar dengan sifat demokrasi iaitu sikap keterbukaan untuk menerima dan melayan pihak yang berbeza pendirian. Kami menyeru Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mengambil tindakan terhadap insiden tersebut dan mengambil tindakan disiplin terhadap ahli pemuda Umno yang bersikap keras pada masa itu," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Kumpulan itu merangkumi Civil Rights Committee of KL & Selangor Chinese Assembly Hall (CRC-KLSCAH), Jawatankuasa Masyarakat Sivil Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Writers' Alliance for Media Independence (WAMI), Suara Rakyat Malaysia (Suaram),
Islamic Renaissance Front (IRF) dan Centre for Independent Journalism (CIJ)
Mereka sependapat dengan pendirian pihak pengajur bahawa ISA merupakan akta zalim yang mencabuli hak asasi manusia dan perlu dimansuhkan segera.
"Akta Keselamatan Dalam Negeri secara jelas disalahgunakan oleh pihak pemerintah untuk menindas golongan yang mengkritik atau tidak puas hati terhadap pemerintahannya.
"Pendirian kami amat jelas, iaitu tidak mengira sesiapa pun, seseorang yang ditangkap perlu dibicara sebelum dijatuhkan hukuman dan ini adalah sejajar dengan prinsip keadilan asasi (natural justice)," kata kumpulan itu.
Forum yang dinamakan 'Alat Politik Untuk Penindasan' juga melancarkan buku bekas jawatankuasa pusat Parti Gerakan Datuk Dr Toh Kin Woon berjudul 'Fifty Years Under the ISA'.
0 Komen pengunjong :