Zaid gesa PKR laksana tujuh perkara baiki proses pemilihan pusat

PETALING JAYA, 6 Okt – Datuk Zaid Ibrahim yang dicalonkan bertanding jawatan timbalan presiden dan naib presiden hari ini menggesa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR agar melaksanakan dengan segera tujuh perkara bagi membolehkan beliau memutuskan sama ada menerima pencalonan bersaing pada pemilihan kali ini.
“Saya berharap permintaan ini akan diluluskan secepat mungkin. Ini memudahkan saya membuat keputusan sama ada mahu menerima pencalonan atau tidak,” kata beliau dalam surat yang dialamatkan kepada Pengerusi JPP Dr Molly Cheah.
Dalam surat bertarikh  5 Oktober itu Zaid berkata, PKR mestilah mampu menepati standard minimum yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Kalau tidak, sukar bagi kita untuk mendesak SPR supaya menepati standard antarabangsa,” kata Zaid yang juga anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR.
Perkara-perkara yang disyorkan Zaid terdiri daripada:
* Calon dibenarkan melantik seorang wakil calon dan empat wakil sebagai ‘polling and counting agent bagi setiap pusat mengundi
* Kertas undi mesti bernombor siri
* Peti undi mestilah telus cahaya dan dapat dilihat oleh semua pihak
 *Ruang membuang undi hendaklah diasingkan bagi mengelak gangguan manakala pengawas tidak boleh berada di tempat pembuangan undi kerana ia akan mempengaruhi ahli yang ingin membuang undi
* Senarai ahli yang sahaja digunakan dan senarai yang sah mestilah mempunyai jumlah ahli dan nama ahli yang sama, yang diberikan kepada calon  dan tidak ada perbezaan dari segi jumlah atau pun nama-nama ahli tersebut
* Masa mengundi mestilah dipatuhi dan pengawas tidak boleh menangguhkan atau melanjutkan masa pembuangan undi
* Bagi ahli yang sudah membayar yuran semasa mesyuarat agung tahunan cabang tempoh hari, nama mereka sepatutnya ada dalam senarai ahli yang berhak mengundi
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail yang ditemui hari ini mengesahkan penerimaan surat Zaid itu sambil menjelaskan, pihaknya akan melaksanakan beberapa perkara yang boleh diambil dengan segera.
Katanya,  sesetengah perkara tidak boleh dilaksanakan seperti peti undi telus cahaya disebabkan kos.

0 Komen pengunjong :