Perpaduan Melayu: Saingan Galas boleh dielak jika semua setuju, Ku Li


KUALA LUMPUR, 12 Okt — Pengarah jentera Barisan Nasional (BN) Tengku Razaleigh Hamzah berkata, pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas boleh dielakkan jika parti-parti yang disebut-sebut hendak turut gelanggang bersetuju ekoran pandangan sesetengah pihak ia perlu dielakkan demi perpaduan orang Melayu.
Malah ada pandangan mengatakan ia harus dielakkan memandangkan keputusan tidak akan mengubah kedudukan BN dan Pakatan Rakyat di DUN Kelantan.
Di DUN Kelantan Pakatan Rakyat menguasai 39 kerusi manakala BN pula enam.
“Boleh buat... (sedangkan) kita pun telah meminda perlembagaan bahawa selepas tiga tahun (mandat semasa), tidak perlu ada pilihan raya. Jika semua orang bersetuju, ada kemungkinan,” kata Tengku Razaleigh kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di sini semalam.
Di bawah undang-undang semasa, pilihan raya kecil tidak perlu diadakan jika kekosongan wujud selepas tahun ketiga mandat semasa.
Kini tinggal tujuh bulan lagi bagi tempoh itu berakhir.
Pada 28 September lalu, PAS pusat menyarankan supaya BN berkompromi dengan menyerahkan kerusi kepada parti Islam itu pada pilihan raya kecil Galas.
Timbalan Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan berkata, langkah itu perlu demi perpaduan Melayu dan mengelakkan pergeseran politik terus berpanjangan antara kedua-dua parti induk orang Melayu itu.
Katanya, adalah wajar jika kedua-dua parti itu tidak bertanding pada pilihan raya kecil itu jika ingin melihat perpaduan di kalangan orang Melayu yang menjadi agenda utama negara.
Che Hashim Sulaima daripada PAS, meninggal dunia akibat barah usus 27 September lalu.
Pada pilihan raya umum ke-12, Che Hashim memperoleh 4,399 undi mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.
Takiyuddin berkata, dengan cara demikian juga ia akan dapat menjimatkan perbelanjaan kewangan kedua-dua pihak dalam pilihan raya kecil.
Bagaimanapun Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata, Umno tidak akan termakan umpan PAS supaya parti itu tidak menyertai pilihan raya kecil di Galas.
“Walaupun PAS cadang Umno jangan sertai, tapi kita tidak makan kail yang dihulurkan, kita akan sertai,” katanya.
Mengenai pandangan PAS bahawa mereka akan turun sebagai “underdog” di Galas, Tengku Razaleigh juga melihat pihaknya juga “underdog”.
“Saya ingat kami cuma 43 peratus (sokongan populariti) dan mereka 57 peratus,” kata beliau berseloroh dan menambah, “Saya perlu pergi dan bercakap dengan mereka, saya belum pergi lagi. Maklum balas ada bagus setakat ini.”
“Kami adalah pihak yang kalah, kami kalah pada pilihan raya umum. Kalau kami hendak mendapatkan balik, bukan sesuatu yang mudah.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS pusat Datuk Halim Abdul Rahman berkata walaupun partinya menang di Galas pada 8 Mac lalu tetapi akan turun sebagai “underdog” dengan 48:52 peratusan sokongan populariti.
Pun begitu kata beliau, ahli-ahlinya di akar umbi sudah bersemangat untuk menghadapi pilihan raya kecil.
Mengenai pandangan PAS bahawa pelantikannya akan membolehkan pilihan raya kecil ini bebas daripada elemen-elemen tidak sihat seperti rasuah membeli undi, Tengku Razaleigh berkata, beliau akan memastikan perkara seumpama itu tidak wujud.
“Setakat ini saya ada keupayaan untuk mengawal jentera pilihan raya, saya tidak akan berbuat demikian.
“Saya tidak tahu yang lain, tetapi saya pernah tidak terlibat. Saya berharap perkara-perkara macam ini tidak wujud di kawasan saya,” kata beliau yang juga Ketua Umno Gua Musang.
Mengenai bakal calon, Tengku Razaleigh berkata, nama yang akan dicalonkan seharusnya seorang yang boleh menggambarkan kehendak rakyat, “seorang yang bersih, boleh dipercayai, penyayang, mengambil berat kebajikan.”
“Lebih baik seorang yang terdidik, bukan sahaja dari segi pelajaran, tetapi terdidik dalam hubungan dengan rakyat,” kata beliau sambil menambah, tidak boleh mengatakan apa-apa sebab “bos-bos belum membuat keputusan.”
Berhubung peluang di Galas, Tengku Razaleigh mengakui bahawa sangat sukar untuk untuk diperkatakan.
“Sangat sukar untuk diperkatakan kerana keadaan tidak banyak berubah.
“Rakyat yang menghantar mesej pada 2008 mengharapkan lautan perubahan dan kita boleh baca mesej yang telah mereka hantar,” katanya lagi.
Tengku Razaleigh juga memberitahu tiada banyak perubahan dalam sistem politik, pentadbiran kehakiman, tahap rasuah, sistem penyampaian dan pendidikan, yang masih segara dalam pemikiran rakyat.

0 Komen pengunjong :