Nota Misteri Tak Dapat Dipastikan Tulisan Beng Hock

tbh
SHAH ALAM 24 Okt - Pakar analisis tulisan Jabatan Kimia Malaysia tidak dapat mengesahkan samada tulisan dalam nota misteri Teoh Beng Hock sememangnya tulisan arwah.

Inkues Teoh Beng Hock bersambung pagi semalam di Mahkamah Majistret Shah Alam dengan kenyataan daripada pakar analisa dokumen, Wong Kong Yong yang telah membuat perbandingan di antara nota misteri tersebut dengan beberapa contoh tulisan Teoh dii dalam kenyataan beliau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) dan kad kreditnya.

"Melalui analisis saya, kemungkinan besar tulisan dalam nota misteri itu adalah tulisan Teoh jika dibandingkan dengan buku nota yang dijumpai di dalam beg galas Teoh.

"Parap di dalam nota dan parap pada halaman kenyataan 10-mukasurat beliau kepada SPRM juga padan dan ini berdasarkan kepada keputusan analisis yang mendapati terdapat enam persamaan dan satu perbezaan dalam perbandingan parap Teoh pada laporan SPRM dan nota misteri itu," jelas Wong di mahkamah.

Kata beliau lagi, tulisan dalam bahasa Inggeris dan Melayu di dalam nota dan laporan SPRM dapat disahkan daripada individu yang sama tetapi Wong tidak dapat mengesahkan penulis tulisan berbahasa Cina di dalam nota tersebut.

"Saya tidak dapat mengesahkan kerana tiada sampel yang mencukupi untuk membuat perbandingan," jelas beliau lagi.

Peguam mewakili keluarga Teoh, Gobind Singh Deo bertanyakan kaedah perbandingan dibuat dan Wong memberitahu perbandingan dibuat dengan membandingkan setiap huruf di antara dua spesimen yang dibincangkan.

"Jika begitu, adakah apa-apa ujian untuk mengesan cap jari dan sampel DNA dibuat ke atas nota tersebut dan memandangkan anda pakar dalam analisis dokumen, adakah anda menasihati Pegawai Penyiasat (IO) untuk berbuat demikian?" tanya Gobind.

"Tidak pasti samada IO ada membuat ujian dan saya juga tidak menasihati beliau untuk berbuat demikian," jawab Wong.

Ditanyakan samada Wong dapat mengecam cap jari di atas nota misteri itu, Wong mengesahkan di mahkamah bahawa beliau dapat melihat dan mengecam adanya cap jari pada nota tersebut.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwaraya, Datuk Abdul Razak Musa meminta kebenaran untuk mendengar keterangan tiga lagi saksi bagi mengesahkan invois yang dijumpai di dalam komputer riba Teoh tidakk berkati dengan syarikat mereka.

Semasa Teoh disoalsiasat Julai tahun lalu, SPRM telah menjumpai empat invois daripada empat syarikat, Syarikat Fizami Construction, Aris Enterprise, MKMN Enterprise dan M A Bina Melor Enterprise di dalam komputer ribanya.

SPRM mengesyaki Teoh dan majikannya, ADUN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah terlibat secara langsung memberikan kontrak kepada kesemua syarikat berkenaan.

Sehubungan itu, koroner Azmil Muntapha Abas menyatakan identiti penulis nota misteri tersebut masih tidak dapat diketahui dan selagi isu ini tidak dapat dipastikan, isu lain yang berkait dengan nota berkenaan perlu ditangguhkan.

Mahkamah menangguhkan sidang hari ini hingga 4 November depan.

0 Komen pengunjong :