"Mazlan Aliman itu siapa?," tanya Pengerusi Felcra

f_11tajudin KUALA LUMPUR: Pengerusi Felcra, Datuk Tajuddin Abdul Rahman menempelak Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman dengan menghambur kata-kata: "Mazlan itu siapa? Siapa dia? Tak boleh pakai."
"Kaki merapu buat apa layan. Awak check (periksa) kredebiliti dia dulu," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Tajuddin yang juga ahli Parlimen Pasir Salak berkata demikian ketika ditanya mengenai hasrat Mazlan untuk mendedahkan penyelewengan Felcra dalam kempen pilihanraya kecil Galas pada 26 November ini.
Sebelum ini Mazlan yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat pernah cuba mendedahkan penyelewengan Felcra di Pasir Salak di kawasan Parlimen yang diwakili Tajuddin.
Bagaimanapun, usaha itu gagal kerana perhimpunan tersebut tidak mendapat permit polis.

Tidak perlu ke mahkamah
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan pula sekali lagi menegaskan peneroka Felda tidak perlu membawa kes mereka ke mahkamah.
Katanya, ini kerana Felda akan memberi bantuan kepada peneroka jika mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan yang mengarahkan Felda membayar RM17,000 seorang kepada sembilan peneroka yang membawa kes mereka ke mahkamah.
"Keputusan itu selari dengan peraturan Felda yang membayar RM17,000 kepada setiap keluarga peneroka yang mematuhi peraturan menanam semula," katanya.
Mengenai tuduhan Mazlan bahawa Ahmad mengeluarkan kenyataan dengan mendakwa kebun yang diusahakan secara persendirian oleh peneroka penuh dengan semak samun, beliau berkata,
"Saya tidak kata semua kebun persendirian sebegitu, ada juga yang baik. Saya cuma kata sebahagian saja, saya tengok sendiri yang ditunjukkan oleh pegawai Felda dalam lawatan saya ke kawasan Felda."
Semalam dalam sidang media di lobi Parlimen, Mazlan mendedahkan penyewengan Felda dan beberapa kenyataan Ahmad yang disifatkan menghina peneroka.

Cetak Halaman Ini

0 Komen pengunjong :