KUALA LUMPUR, 4 Okt — Perkasa menyamakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali seolah-olah ‘berperang’ dengan Perlembagaan Persekutuan jika calon timbalan presiden parti itu mengisytiharkan “berperang dengan Perkasa.” Naib Presiden Perkasa, Dr Zubir Harun berkata, “kita tidak berminat untuk berperang dengan PKR, sebaliknya kami hanya mahu mempertahankan Perlembagaan negara.”
Sehubungan itu, Zubir yang juga Yang Dipertua Perkasa Pahang berkata, pihaknya akan menggesa agar orang Melayu dan Bumiputera tidak menyokong calon-calon PKR dalam pilihan raya umum ke-13 jika Azmin terus melahirkan sikap menentang Perkasa.
Dalam ucapannya pada mesyuarat agung tahunan cabang Gombak semalam, Azmin berikrar akan melawan habis-habisan Perkasa dan individu berselindung di sebalik pertubuhan itu kerana memperjuangkan perkauman sempit.
“Ikrar saya akan melawan Perkasa habis-habisan termasuk juga individu yang sedang ‘tersungkur’ di Australia,” katanya.
Azmin bagaimanapun tidak menyebut siapa yang dikatakan tersungkur di Australia itu.
Difahamkan, ia merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dimasukkan ke Hospital Epworth, Melbourne semalam bagi menerima rawatan akibat jangkitan kuman pada saluran pernafasan.
Tambah Azmin, selagi Perkasa tetap memperjuangkan kepentingan perkauman sempit, maka selama itulah mereka akan dilawan oleh PKR.
Jelasnya, beliau sebagai seorang beragama Islam dan Melayu bertanggungjawab menjaga kepentingan semua kaum di negara ini, bukan setakat Melayu sahaja.
“Kami tidak berperang dengan Azmin, kami hanya mempertahankan hak orang Melayu,” kata Zubir dalam satu kenyataan.
Malah, Zubir berkata Azmin, yang juga Ahli Parlimen Gombak dan Pengerusi PKR Selangor tidak wajar menyerang Perkasa memandangkan pertubuhan mereka tidak pernah menyerang parti komponen Pakatan Rakyat itu.
“Kami hanya mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, adakah itu salah?
“Kami bukan rasis, kami tidak memperjuangkan sentimen perkauman tetapi hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, hak-hak orang Melayu,” kata beliau lagi.
Begitu juga seolah-olah Perkasa juga adalah alat bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan cuba menghina Perkasa.
“Menghina Tun Mahathir seorang negarawan yang banyak berjasa adalah kurang ajar dan terkutuk.
“Kita kenal siapa Azmin yang sedia korban apa saja, hatta rumah tangga kepada bosnya.
“Perkasa lebih mulia, ada kelas dan tegas membela agama bangsa dan negara bukan macam PKR parti samseng, baling kerusi bertumbuk rebut jawatan.
“Bila berkuasa mungkin berbunuh berebut projek,” katanya lagi.
Kata Zubir, Perkasa juga Perkasa mengutuk dan menyifatkan kenyataan Azmin sebagai biadap dan tiada nilai budaya Islam dan Melayu apabila menyerang serta menuduh Dr Mahathir tersungkur di Australia dan berselindung di sebalik Perkasa.
“Sepatutnya apa juga perbezaan sekali pun, kewajipan kita sebagai orang Islam hendaklah berdoa untuk kesihatan pihak yang uzur dan kecuali manusia itu tiada otak macam binatang... begitu juga seolah olah Perkasa juga adalah alat Tun Mahathir dan cuba menghina Perkasa,” katanya.
Lelaki tular tampar isteri ditahan pagi tadi
1 month ago
0 Komen pengunjong :