Kes Sosilawati: Empat suspek termasuk seorang peguam didakwa hari ini

KUALA LUMPUR, 13 Okt — Selepas genap sebulan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga yang lain disahkan mati dibunuh dengan kejam dan penuh tragis di Ladang Gadong, Banting, empat suspek kes akan  didakwa hari ini.
Empat suspek itu termasuklah seorang peguam adik-beradik yang ditahan untuk siasatan.
Peguam kepada peguam adik- beradik itu Ravi Nekoo berkata mereka didakwa 9 pagi ini di Mahkamah Majistret Banting.
“Empat orang didakwa, dan seorang daripada mereka adalah peguam,” kata beliau ketika dihubungi pagi ini.
The Malaysian Insider difahamkan beberapa suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Banting sekitar 8 pagi tadi.
Malah, difahamkan kes itu jika disebut hari ini akan dibuat permohonan untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan yang dikemukakan oleh dua peguam adik-beradik dan seorang suspek terhadap perintah lanjutan tahanan reman mereka yang diperoleh polis berhubung kes ini.
Sosilawati bersama pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting atas urusan pembelian tanah.
Pada 6 September, dua kereta iaitu BMW M5 dipercayai milik Sosilawati, ditemui di parkir kenderaan Pangsapuri Angsana, USJ 1, manakala BMW 5 series milik Ahmad Kamil pula dijumpai berhadapan sebuah rumah teres yang terletak berhampiran sebuah hotel di sini.
Misteri kehilangan keempat-empat individu terbabit terungkai pada 12 September apabila pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin dalam satu sidang akhbar, mengesahkan kesemua mereka dibunuh dengan kejam sebelum dibakar, manakala abunya dicampakkan ke sebatang sungai berhampiran.
Mohd Bakri berkata ekoran perkembangan terbaru itu, seorang peguam bergelar “Datuk”, adik lelakinya, dua wanita bersama empat yang lain, termasuk pekerja ladang itu, ditahan
Beliau berkata kesemua suspek mengaku membawa mangsa ke ladang seluas empat hektar itu sebelum dipukul sehingga mati, dan mayat mereka dibakar.
Kesemua mereka yang berusia lingkungan 19 dan 41 tahun, kemudian ditahan reman selama tujuh hari di Balai Polis Bukit Jalil, dengan tangkapan pertama ke atas peguam dan adik lelakinya pada 9 September, lima individu lagi pada 10 Sept dan seorang lelaki pada 12 September lepas.
Penahanan reman kesemua suspek itu ternyata memberi ruang kepada pasukan forensik melakukan siasatan secara terperinci, termasuk mencari bukti yang boleh menyelesaikan kes berprofil tinggi tersebut.
Antara bahan bukti yang ditemui di Sungai Panchau, Kampung Kanchong Laut dan beberapa lokasi lain adalah tulang-temulang, gelang emas, jam tangan, zink dan rambut, dipercayai milik mangsa.
Pejabat guaman milik Datuk berkenaan turut digeledah bagi mencari bukti penglibatannya dengan kes penipuan yang membawa kepada pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain.
Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata suspek utama siasatan kes pembunuhan itu turut dikaitkan dengan beberapa kes orang hilang, pembunuhan dan jenayah komersial di daerah Kuala Langat.
Beliau berkata suspek utama itu yang turut disiasat berhubung kes kehilangan ahli perniagaan dari Chennai, India, Allal Kanthan Muthuraja yang tiba di negara ini pada 18 Januari lepas.
Khalid berkata peguam tersebut juga disyaki mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan seorang wanita di Banting tahun lepas.
Akhbar melaporkan bahawa wanita itu T.Selvi, 44, isteri seorang pemilik bengkel kenderaaan, dipercayai dibunuh ekoran perselisihan faham mengenai urus niaga pinjaman wang yang melibatkan peguam itu.
Beliau berkata polis menerima tujuh laporan jenayah komersial terhadap peguam itu, antaranya kes pecah amanah dan penipuan jual beli tanah sejak 2005, yang melibatkan kerugian sebanyak RM7.1 juta.
Kertas siasatan berhubung kes itu kemudian dihantar kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail pada 21 September lepas, namun dipulangkan kepada polis sehari selepas itu, untuk dilengkapkan termasuk menyertakan laporan DNA.
Penahanan reman ke atas semua suspek pula dilanjutkan beberapa kali bagi membantu siasatan berhubung laporan kes kehilangan beberapa individu lain di sekitar daerah itu, yang dikaitkan dengan peguam bergelar Datuk.
Suspek itu turut disiasat bagi kes kehilangan kontraktor dari Sungai Petani, Kedah iaitu Shafik Abdullah, 37, dan seorang rakannya.

Cetak Halaman Ini

0 Komen pengunjong :