AGM Umno: Nurul cabar Najib tunai tiga perkara dalam 30 hari

KUALA LUMPUR, 25 Okt — Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mencabar Datuk Seri Najib Razak menunaikan tiga perkara dalam 30 hari bagi membuktikan ucapannya pada Perhimpunan Agung Umno hujung minggu lalu bukan omong-omong kosong. Anak sulung Ketua Pembangkang ini menegaskan, jika gagal menunaikan tiga perkara yang dituntutnya, Umno-BN pimpinan Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno boleh menyimpan Putrajaya jika mahu, sebaliknya menyerahkan kepada rakyat menentukan peneraju baru negara pada keseluruhannya — Pakatan Rakyat.
“Oleh kerana Parlimen masih bersidang, saya meminta Perdana Menteri mengubah ucapannya (ketika Perhimpunan Agung Umno) dalam bentuk tindakan dalam tempoh 30 hari,” kata beliau.
Sesi Dewan Rakyat yang bermula dia minggu lalu akan berakhir pertengahan Disember ini.
“Perdana Menteri berkata hak orang Melayu sudah terkunci kemas dalam Perlembagaan. Oleh itu, di Parlimen, Perdana Menteri mesti memansuhkan undang-undang yang antidemokratik seperti ISA, AUKU, yang tidak lagi diperlukan untuk melindungi hak-hak itu.
“Bukankah Umno percaya pada kebijaksanaan Raja-Raja Melayu untuk memegang kunci utama ini demi (kepentingan) semua rakyat Malaysia?” kata beliau.
Oleh itu, jelas Nurul Izzah, memandangkan orang Melayu perlu berhadapan dengan pertarungan minda dan kemahiran, Perdana Menteri harus memastikan bahawa kebebasan media perlu untuk melahirkan masyarakat yang bermaklumat.
“Bukankah ini akan memperkayakan minda dan jiwa rakyat untuk berhadapan dengan era moden,” kata beliau lagi dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini.
Oleh kerana Perdana Menteri menekankan bahawa orang Melayu boleh bersaing dengan memperlihatkaan hasil terbaik seperti kaum-kaum lain, Nurul Izzah menambah, Najib yang juga Presiden Umno harus menjamin pilihan raya yang bebas dan adil.
Kata Nurul Izzah lagi, bukankah Umno-BN sewajarnya mencontohi semangat Laksamana Hang Tuah sebagai pahlawan tulen Melayu yang memilih untuk berjuang di padang yang sama rata dan adil.
“Biar tanda aras ini menjadi ujian kepada legitimasi Umno dan sama ada Presiden Umno mempunyai kepimpinan moral yang beliau memperlihatkan dalam ucapannya, dan semangat juang Hang Tuah atau akan ikut sifat seakan-akan Mat Jenin,” katanya.
Dalam ucapannya Khamis lalu dan ketika menggulung kelmarin, Najib berkata, amatlah mustahaknya Melayu alaf ketiga dan abad ke-21 ini dipersediakan untuk menghadapi era semasa.
“Dari begitu obsesi terhadap hak, sebaliknya Melayu abad ke-21 wajib mempersiap siagakan dirinya untuk memanfaatkan hak yang ada. Apa gunanya kuota, rizab dan permit jika segalanya dipersiakan?
“Apa gunanya peluang jika ia digadai demi keuntungan jangka pendek?
“Lalu, Melayu abad ke-21 harus gigih membina keupayaan dan kemampuan, bukannya sekadar mendabik perabung-perabung dada bahawa mereka harus berjaya kerana ia adalah hak mereka untuk berjaya. Mahu tidak mahu, Melayu abad ini harus berdepan realiti untuk meraih kejayaan,” kata Najib lagi.
“Justeru, saya sebagai Presiden Umno, tidak mahu menerima alasan bahawa anak Melayu masih lemah kesan penjajahan hampir lima kurun.
“Saya sebagai Presiden Umno beserta rakan-rakan pimpinan dalam parti juga tidak rela, melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang meminta-minta, kita tidak mahu, melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang berpuas hati dengan momokan rezeki secupak tak kan jadi segantang,” kata beliau lagi.
Najib yang juga Pengerusi BN menasihatkan Umno “janganlah terpalit damak beracun sandiwara lawan yang hanya menempah alam kegagalan.”
“Berpasaklah kepada parti Umno. Bertetaplah kepada panji-panji Barisan Nasional.
“Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan,” katanya lagi.
Mengenai hak keistimewaan, Najib berkata, kedudukan orang Melayu dan Bumiputera selain kepentingan kaum-kaum lain dari segi politik telah termaktub jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Ia terkunci kemas dalam artikel-artikel Bahagian 3 mengenai kewarganegaraan, Perkara 38 berkait Majlis Raja-Raja, Perkara 152 tentang Bahasa Kebangsaan dan Perkara 153 mencakupi antara lain Perezapan kuota perkhidmatan dan permit untuk orang Melayu,” kata Najib lagi.

4 comments :

  1. hurmmm...berani ke Tuan Presiden??
    She is Brilliant thats the only word.:)

    ReplyDelete
  2. Confirm tak berani. Tengok ajelah Ibrahim Ali ngan Zahid Hamidi. Tak tersahut cabaran. Sampai sekarang senyap sepi. Macam tikus jatuh keberas........

    ReplyDelete
  3. emmm entah la... tp klu bg nurul izzah @ PKR yng tunaikan pn blm tentu blh buat.. yg diorg tau nk menjatuhkan kerajaan tp x penah nak pk pasal rakyat.. sekurang2nya kerajaan sekarang pk pasal rakyat.. PKR.. tak tau la plk.. yg nyatanya hanya kelantan je yang pk psl rakyat.. PP ngn selangor nampak cam menyingkir rakyat.. sibuk nak jatuhkan kerajaan pusat tp x pnh pk pasal kerajaan negeri sendiri.. penang porak peranda pasal hal tanah ngan wang ihsan.. selangor masih begelut ngan isu pasir.. x penah pk pasal hal tersebut.. yang diorng tau nak jatuhkan orng lain.. biasala hidup orang politik.. semua nak dok atas...

    ReplyDelete
  4. Confirm cabaran tak tersahutnya. Kedua-dua tu cakap je lebeh!!!!!!!!

    ReplyDelete