
Azan Ismail berkata pengakuan Tan Sri Musa Hassan berkenaan campur tangan Kementerian Dalam Negeri dalam tugasan PDRM membuktikan bahawa apa yang disuarakan oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat selama ini mempunyai asas dan kebenarannya.
"Kata-kata Musa ini mengesahkan dan mengguatkan lagi dakwaan bahawa institusi kepolisan ini berada di dalam keadaan yang sangat gawat dan serius. Kita memerlukan satu siasatan terbuka secara besar-besaran dapat dijalankan bagi menyiasat dakwaan beliau," tegas Azan kepada Suara Keadilan.
Justeru itu kata beliau kerajaan perlu membentangkan kertas putih dan membuat siasatan secara menyeluruh terhadap PDRM bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap agensi keselamatan itu.
"Wujudnya campur tangan KDN dalam institusi polis menunjukkan kita berada di dalam keadaan sangat berbahaya kerana membenarkan campur tangan orang politik di dalam PDRM yang menjadi tempat kebergantungan rakyat selama ini.
"Kita sekarang berada di dalam keadaan loceng kecemasan sedang dibunyikan apabila perkara itu diakui oleh Musa dan siasatan terbuka harus dilakukan bagi menyiasat perkara itu," ujar beliau.
Sebelum ini apabila ditanya media mengenai isu campur tangan pihak ketiga dalam urusan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) beliau telah berkali-kali menafikan perkara tersebut walaupun telah menyatakan demikian dalam satu temuramah dengan akhbar Mingguan Malaysia Mac lalu .
Bagaimana pun Musa yang meluahkan kekecewaannya selepas mengetahui kontraknya tidak disambung akhirnya mendedahkan Kementerian Dalam Negeri adakah pihak yang mencampuri urusan PDRM dalam pelaksanaan tugas badan itu.
Azan berkata tindakan Musa menunjukkan beliau hanya menjaga kepentingan peribadinya dan membuktikan amalan buruk yang dipraktikkan di dalam pentadbiran PDRM selama ini.
"Apabila beliau terdesak barulah perkara yang sebenarnya didedahkan, ini menunjukkan beliau hanya ingin menjaga kepentingan peribadi dan dakwaan yang dibuat terhadap institusi itu adalah sangat berat.
"Tetapi sekurang-kurangnya ada keberanian daripada pihak beliau kerana membuat pendedahan semasa masih lagi berada di dalam jawatan berbanding KPN yang bersara sebelum ini.
Musa, 59, yang bersara pada 2007, disambung perkhidmatannya secara kontrak sebanyak dua kali dan akan bersara mulai 12 September ini.
0 Komen pengunjong :