Pihak persoal hak Melayu wajar balik negara asal : Ridhuan Tee


KUALA LUMPUR, 15 Ogos — Kolumnis Mingguan Malaysia Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah dalam tulisan terbaru hari ini memberi amaran kepada pihak yang mempersoalkan hak Melayu dan Bumiputera supaya balik ke negara asal masing-masing.
Dalam satu lagi tulisan yang dilihat boleh mencetuskan rasa tidak senang, Ridhuan berkata ada orang yang tinggal di bumi bertuah ini langsung tidak bersyukur, malah mempersendakan dan menghina kedudukan istimewa agama Islam dan Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Saya cadangkan mereka berhijrah ke negara lain, jika negara ini sudah tidak ada lagi kebebasan baginya.
“Pergilah ke negara asal-usulnya atau ke Barat kerana di sana lebih banyak ‘kebebasan’ untuk membina gereja paling besar dan patung paling tinggi di dunia serta, sekolah vernakular, termasuk juga melakukan perbuatan sumbang seperti seks bebas,” kata beliau dalam tulisan disiarkan Mingguan Malaysia hari ini.
Katanya, ternyata orang ini amat jahil dalam memahami Perlembagaan Persekutuan dan asal-usul negara ini atas sikap ultra kiasu.
“Keadilan baginya adalah sama rata dan sama rasa bukan meletakkan sesuatu pada tempatnya,” katanya yang menganggotai Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Beliau seterusnya mempersoalkan apakah orang ini tidak menyedari bahawa bilangan rumah ibadat bukan Islam melebihi berkali ganda daripada masjid dan surau.
Pun begitu katanya, mereka  masih tidak berpuas hati.
“Mereka mahukan patung Mazu dan patung-patung lain serta gereja menjadi mercu tanda, terbesar dan tertinggi, barulah dinamakan adil, bertepatan dengan hak kebebasan dan hak asasi manusia,” katanya.
Oleh itu kata Ridhuan, beliau mencadangkan mereka membawa idea seumpa itu ke negara Barat, mungkin negara asal usulnya di China.
“Cadangkan apa yang dimahukan terhadap mereka. Saya amat yakin cadangan orang ini akan ‘dibakulsampahkan’ sebab tidak masuk akal, kecuali di Malaysia, kerana toleransi ditunjukkan oleh pribumi tidak ada tolok bandingnya.
“Pergilah ke Kelantan, orang bukan Melayu boleh dikira dengan jari, tetapi mereka memiliki patung Buddha yang begitu besar sekali.
“Ini belum termasuk Pulau Pinang dan negeri-negeri lain. Masihkah orang ini tidak bersyukur?” katanya.
Katanya, beliau seringkali menimbulkan sebab memerlukan bilangan rumah ibadat yang banyak dan bersaiz tinggi dan besar sedangkan keperluan penganutnya tidak berapa ramai?
“Justeru, tidak perlulah gatal tangan membeli dan buka gereja di rumah kedai.
“Lepas itu salahkan kerajaan kerana tidak membantu membiayainya. Janganlah jadi kafir harbi,” katanya lagi.
Katanya lagi walaupun PAS menuduh Perlembagaan Persekutuan hasil syor Suruhanjaya Reid adalah perlembagaan kafir kerana kerjanya suka mengkafir, ruang untuk Islam dan pribumi berkembang begitu besar, dengan tidak menafikan hak bukan Islam.
Tambah beliau, kelebihan yang dinikmati oleh Islam dan pribumi inilah yang menimbulkan kedengkian dan rasa tidak puas orang ini dan ultra kiasu yang lain.
“Mereka sengaja tidak mahu sedar bahawa dengan kelebihan ini juga, mereka beroleh keuntungan.
“Aktiviti keagamaan mereka tidak pernah disekat, malahan mereka bebas untuk mengamalkannya tanpa diganggu-gugat.
“Sedih juga kadangkala melihat umat Islam sembahyang Jumaat berjemur sehingga ke jalan raya disebabkan saiz masjid yang tidak dapat menampung keperluan jemaah. Itupun masih dipertikaikan,” katanya.
Selain itu kata beliau, “satu sahaja yang saya pinta agar orang ini dan sekutunya, beramal dengan ajaran agama mereka dengan menjauhi judi, arak, zina, seks bebas dan lain-lain.”
“Barulah aman negara ini,” katanya lagi.
Katanya, jika begitulah keadaannya, tukar sahaja nama Malaysia kepada Cinasia atau Indiasia.
“Pelik sungguh spesies sebegini, tak habis-habis cuba mencabar kedudukan Islam dan pribumi,” kata Ridhuan.
Selain itu katanya, mereka yang sering mencabar ini tidak perlu menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan jika tidak yakin dengan sekolah kebangsaan atau pun mungkin dimelayukan.
“Kehadiran ‘anak’ orang ini tidak diperlukan di sini. Hantar sahaja ‘anak’nya itu ke sekolah di negara asal-usulnya atau ke seberang laut.
“Cubalah buat kajian berapa ramai produk pelajar bukan Melayu yang telah berjaya hasil didikan di sekolah kebangsaan peringkat menengah setelah mereka tamat pembelajaran di sekolah vernakular?
“Tidak juga mereka memeluk Islam melalui amalan doa pagi ketika perhimpunan,” katanya.

0 Komen pengunjong :