KUALA LUMPUR 3 Ogos - Parti Islam Se-Malaysia PAS) bimbang dengan tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menyenarai hitam pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan akibat daripada menerima saman ekor yang dikeluarkan oleh pihak polis akan menyebabkan kerajaan persekutuan hilang sumber pendapatan.
Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) , Datuk Mahfuz Omar berkata jawatankuasa berkenaan akan mengatur satu pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein bagi membincangkan perkara tersebut.
Menurut beliau, pada masa yang sama KASE juga akan bertemu dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha pada 5 Ogos ini bagi berbincang mengenai tindakan JPJ yang menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan akibat disenarai hitam kesan menerima saman ekor.
"KASE telah menetapkan tarikh untuk bertemu Menteri Dalam Negeri untuk berbincang isu saman ekor ini kerana pihak polis pun memainkan peranan dalam mengenakan saman ekor.Kita meminta pihak kementerian pengangkutan membuat keputusan bijak dengan mengarahkan JPJ membatalkan 'blacklist' tersebut dan izinkan orang ramai untuk perbaharui cukai jalan.
"Kami berharap pihak menteri tidak ada masalah dengan pertemuan ini kerana isu ini melibatkan rakyat secara keseluruhannya," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Ibu Pejabat PAS di sini, hari ini.
Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata KASE juga akan mengadakan hari bertemu mangsa saman ekor di beberapa tempat pada 9 dan 10 Ogos bagi memberikan penerangan kepada mereka dari sudut undang-undang mengenai tindakan yang dikenakan JPJ dan pihak polis itu yang akan disampaikan oleh pengamal undang-undang dalam Kase sendiri.
"Pertemuan bagi mereka yang berada di Wilayah Persekutuan dan Selangor akan didakan di sekitar ibu negara manakala bagi mereka yang tinggal di Melaka dan Negeri Sembilan, pertemuan akan diadakan di Seremban," katanya lagi.
Beliau menyeru semua mangsa saman ekor supaya menghadiri perjumpaan hari bertemu mangsa saman ekor yang bakal diadakan pada 9 Ogos untuk Wilayah Persekutuan dan Selangor.
Beliau menambah, satu taklimat tentang akta dan undang-undang untuk mereka fahami bahawa mereka belum lagi bersalah dan khidmat nasihat akan diberikan oleh penasihat undang-undang KASE.
Selain itu, katanya lagi KASE juga akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia bagi membuat aduan mengenai akta dan undang-undang yang dilihat bercanggah dengan perlembagaan negara.
"Kita akan bertemu dengan pihak Suhakam supaya dapat melihat ada banyak akta dan undang-undang yang sangat bercanggah dengan perlembagaan negara," katanya.
Beliau berkata tindakan JPJ tidak membenarkan pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan bertentangan dengan perkara 13 perlembagaan negara yang membenarkan seseorang menggunakan hartanya.
Mahfuz menambah, perlembagaan negara di bawah perkara 13 menyatakan bahawa rakyat berhak menggunakan harta mereka dan kenderaan adalah sebahagian daripada harta mereka.
Sehubungan itu katanya lagi, kerajaan melalui JPJ telah menghalang rakyat menggunakan harta mereka apabila menyenaraikan hitamkan kenderaan dan halang perbaharui cukai jalan.
Lelaki tular tampar isteri ditahan pagi tadi
3 months ago
0 Komen pengunjong :