BN kena sedar kerajaan pun ada ajal

KUALA LUMPUR, 16 Ogos: Pemimpin Barisan Nasional (BN) kena sedar dan hendaklah menerima hakikat bahawa sebuah kerajaan ada ajal, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.
“Perjuangan seperti roda, ada ketika berada di atas dan ada ketika berada di bawah,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Sehubungan itu, katanya PAS menyambut baik cadangan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang  menasihat parti politik supaya membuang budaya politik negatif  dan  mewujudkan suasana yang lebih selesa dan harmoni.
Beliau berkata, Tsu Koon dengan ikhlas menyatakan perkara itu terjadi terutama selepas  Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, di mana politik dendam antara satu sama lain.
Justeru, tambahnya PAS mengharapkan supaya Tsu Koon membawa idea itu ke Majlis Tertinggi BN supaya anggota komponen BN pandai menghormati keputusan rakyat dalam sebuah negara demokrasi yang telah memilih parti-parti yang bertanding.
PAS juga, katanya mengharapkan nota peringatan yang diberikan oleh Presiden Gerakan itu akan memberikan satu sinar baru dalam politik Malaysia.
“Biarlah tunjuk kematangan berpolitik setelah negara hendak menyambut  kemerdekaan kali ke 53. Janganlah berpolitik seperti negara baru mengenal tamadun dan kemajuan.
Ini, katanya kerana menjadi adat dalam sesuatu perlawanan ada pihak yang kalah dan menang.
“Hormatlah semangat federalisme yang telah diterima pakai di negara ini. Buanglah sifat tidak menghormati undang-undang dan perjanjian seperti hak royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu,” katanya lagi.
PAS, tambahnya menasihatkan supaya pemimpin Umno dan BN hendaklah belajar menjadi pembangkang  yang baik, seperti yang telah dialami oleh PAS.
Katanya, pemimpin BN perlu belajar daripada PAS dalam sepak terajang politik.
Beliau berkata, PAS pernah bersama dengan kerajaan di peringkat pusat pada tahun 1970, sehingga ditendang  keluar daripada BN.
PAS juga, katanya pernah memerintah di Kelantan, kemudian kalah,  setelah memerintah 18 tahun sejak 1959.
Namun, ujarnya berkat kesabaran, maka rakyat memberi kepercayaan kembali pada tahun 1990 hingga kini.
Menurutnya lagi, PAS pernah menang di Terengganu pada 1959 kemudian jatuh melalui undi tidak percaya 1961, kemudian menang pula pada 1999 dan kalah 2004.
“Inilah roda putaran perjuangan PAS dalam sebuah negara demokrasi. Walaupun PAS sedar perjalanan demokrasi yang penuh tempang namun PAS tetap menyuburkan demokrasi, kerana ini adalah satu jalan untuk PAS merealisasikan cita-cita perjuangannya,” katanya.
Malangnaya sikap ini tidak ada kepada umno/bn, yang tidak sabar dan tidak  tahu menjadi pembangkanag.

0 Komen pengunjong :