Idola Ku

Walaupun tidak semua tetapi sebahagian daripada kita tentunya ada idola tersendiri. Idola tersebut, mungkin terdiri daripada tokoh-tokoh tertentu seperti pembesar-pembesar sesebuah negeri atau negara, ahli-ahli koperat yang berjaya, penyanyi, pelakun dan sebagainya.

Bagi aku, aku ada kelainan daripada orang lain. Aku juga mempunyai idola seperti orang lain tetapi tidaklah sehebat sebagaimana orang lain yang idolanya berpendidikkan tinggi, terkenal dan sehebat mungkin. Idola aku tidak mempunyai ciri-ciri tersebut tetapi ianya aku rasa paling hebat daripada idola orang lain. Melaluinyalah aku banyak mempelajari ertinya kehidupan dan menjadi manusia sebagaimana aku sekarang. Orang yang aku maksudkan idola aku itu ialah ayahnda aku sendiri, iaitu Hj.Abas. Dialah yang mendidik aku dari kecil sehingga dewasa malah walaupun sudah beranak pinak sekarang ini pun aku masih menerima didikan dan ajaran darinya. Orangnya begitu tegas, kuat semangat, tidak mengenal penat dan lelah dan berinisiatif. Aku dan juga adik beradik aku dididik agar menghormat orang tua, jangan lupa kepada tuhan dan jangan sekali-kali terlibat dengan sebarang gejala negatif. Nasihat dan pesannya itu walaupun berpuloh tahun sudah tetapi aku merasakan seolah semalam aku dengarinya. Berbanyak-banyak terima-kasih anaknda mu ucapkan kepada mu ayahnda kerana telah mendidik anaknda mu dan adik beradik lain menjadi manusia sebagaimana yang ayahnda inginkan.

Ayahnda ku ini dulunya ialah seorang Juragan ( Mempunyai beberapa bot-bot laut dan pukat ikan ). Tugasnya dengan beberapa awak-awaknya ialah menangkap ikan dan hasil tangkapannya dijual kepada taukeh-taukeh ikan samaada dikampung atau Kuala Dungun. Jika tangkapannya banyak dan tidak mampu diterima taukeh ikan dikampung maka ikan itu akan dijual kepada taukeh ikan di Kuala Dungun. Begitulah routine kehidupannya sehinggalah beliau berhenti dari menangkap ikan. Sekarang ini beliau walaupun sudah tua tetapi masih mengisi masanya dengan bercucuk tanam. Boleh dikatakan tiada masa rehat baginya.

Apa yang hebat sangat ada padanya bagi aku ialah kebolehannya melakukan sesuatu. Walaupun tidak berpelajaran tetapi dia ada akal dan menggunakan akalnya dalam melakukan sesuatu. Semasa menjadi nelayan dulu kesemua engine motor lautnya rosak dia baiki sendiri. Tidak pernak hantar ke mekanik untuk dibaiki. Rumah tempat aku dan adik beradik aku tinggal dia buat sendiri. Memasak dikenduri kahwin dia terlibat sama. Tanaman yang ditanamnya sekarang ini menjadi. Malah kerja-kerja lain dikampung yang orang lain tidak boleh buat atau selesaikan dialah yang akan menyelesaikannya. Disamping itu dia juga merupakan tempat sebahagian daripada orang kampung meminta nasihat.

Aku masih ingat lagi suatu ketika dulu aku pernah ajukan satu pertanyaan kepada idola ku ini iaitu, bagaimana beliau boleh buat sesuatu sedangkan beliau tidak pernah belajar secara formal terhadap sesuatu perkara. Jawapan yang diberinya dan menjadi pegangan aku sehingga sekarang ialah " Orang lain boleh buat kita pasti boleh buat. Yang penting ialah kesungguhan dan usaha " Kata-kata azimat inilah aku pegang sehingga sekarang ini. Terima kasih wahai idola ku.

0 Komen pengunjong :