Anwar cabar Pemuda Umno bidas surat PM pada Israel

KUALA LUMPUR 13 Mac: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Pemuda Umno untuk membidas tindakan bekas Perdana Menteri yang juga Presiden Umno yang pernah menulis tiga surat kepada tiga Perdana Menteri Israel.
Malah, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen Rembau dicabar menghubungi Khalid Mashaal dan bertanyakan berkenaan pendirian Hamas terhadap Anwar.
“Saya tidak pernah sepanjang menjadi Ketua Pemuda Umno dan Menteri Belia & Sukan menulis surat kepada mana-mana Perdana Menyeri Israel.
“Dalam sejarah politik Umno, saya adalah Pemuda Umno pertama yang mengadakan demonstrasi menentang Israel. Lebih awal lagi pada tahun 1973 juga diadakan bantahan, iaitu ketika perang Arab -Israel,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian dalam ucapan menjunjung kasih Titah Ucapan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.
Provokasi ahli Parlimen Barisan Nasional lain termasuk Ahli Parlimen Kota Belud, Abdul Rahman Dahalan terhadap Anwar membuktikan politik Machiavelli terus diamalkan mereka, demi politik matlamat menghalalkan cara.
“Yang berniaga dengan Israel, yang berkawan dengan tauke Yahudi, yang pertahan Apco, yang sokong kenyataan Perdana Menteri yang menulis surat kepada PM Israel – apa pendirian mereka?
“Mereka setiap malam serang kita. tapi adakah mereka berani siar satu minit penjelasan kita?” tegas Anwar.
Beliau turut mengulangi cabaran debatnya dengan Perdana Menteri Najib Razak.
“Saya tak fikir rakyat harus diperkecil keupayaan mereka untuk membuat penilaian.
“Sebelum ini Presiden MCA (Chua Soi Lek) dengan Setiausaha Agung DAP (Lim Guan Eng) dan MP Rembau dengan Rafizi (Pengarah Strategi KEADILAN)
“Tidak jadi hal yang terlalu terlanjur atau tidak beradap. Kalau anak-anak muda begini boleh lakukan, mengapa Perdana Menteri enggan terima usul untuk teruskan debat?” soal Anwar.

0 Komen pengunjong :