Bajet 2011: Perangkap Terhadap Golongan Berpendapatan Sederhana


PETALING JAYA 18 OKT : Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, Malaysia kini menghadapi krisis yang dinamakan sebagai 'Perangkap Golongan Berpendapatan Sederhana' atau 'Middle Income Trap'.

"Ini terjadi apabila Malaysia hilang daya saing, sekalipun berbanding negara-negara di Asia Tenggara. Para pelabur lebih berminat untuk pergi ke negara-negara seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam," katanya.

Sementara itu, pada masa yang sama, negara ini kehilangan 700,000 tenaga kerja profesional seperti Jurutera, Arkitek dan Doktor yang meninggalkan negara ini untuk bekerja di firma dan syarikat di luar negara.

Charles menjelaskan demikian dalam sebuah forum berkenaan Bajet 2011 anjuran DAP di Perpustakaan Majlis Perbandaran Petaling Jaya, di Jalan Selangor malam tadi.

Kira-kira 40 orang hadir dalam program tersebut, yang rata-ratanya merupakan ahli akademik, profesional dan pemimpin masyarakat tempatan. Turut hadir ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong, Senator S Ramakrishnan dan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud.

"Ini satu fenomena yang tidak sihat, apabila jumlah sebesar ini tidak mahu lagi bekerja di dalam negara kita. Jumlahnya bersamaan tiga peratus dari keseluruhan penduduk di negara ini," jelasnya.

"Pertama, mereka berpindah bekerja di luar negara kerana budaya kerja di syarikat-syarikat tempatan tidak memuaskan. Dan sebab lain sudah tentu imbuhan atau gaji yang ditawarkan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Charles turut mendedahkan, masih ada lagi golongan pekerja di Malaysia yang berpendapatan di bawah garis kemiskinan.

"Antara data tersebut ialah, kira-kira 34 peratus pekerja di Malaysia yang mempunyai pendapatan di bawah RM700,00 sebulan. Jumlah pendapatan tersebut adalah di bawah paras garis kemiskinan. Apa yang boleh dilakukan dengan RM700, 00 sedangkan sewa rumah di Lembah Klang sahaja mencecah RM500,00" soal Charles.

Justeru, beliau bersetuju sekiranya kerajaan merangka suatu dasar dan perundangan mengenai gaji minima pekerja dan ia perlu dilaksanakan secepat mungkin.

Dalam perkembangan berkaitan, Charles turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang menyalurkan sebahagian dana dari bajet 2011 kepada projek mega infrastruktur, seperti pembinaan Menara Warisan Merdeka yang bernilai RM5 bilion.

"Memang ia bagus untuk industri pembinaan, tetapi hanya untuk seketika. Apa yang kerajaan lakukan hanyalah menangguhkan krisis ekonomi. Tetapi sebenarnya krisis tersebut akan menjadi lebih buruk pada masa akan datang," jelasnya.

0 Komen pengunjong :