Anwar ragu penyelesaian luar mahkamah Tajudin - Danaharta

Anwar Ibrahim

SUBANG JAYA - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meragui penyelesaian luar mahkamah yang dicapai oleh bekas pengerusi eksekutif Malaysia Airlines (Mas), Tan Sri Tajudin Ramli dan Pengurusan Danaharta Nasional Bhd membabitkan hutang RM589 juta,  kelmarin.

Beliau turut mendakwa kes tersebut mungkin ada kaitan dengan perdana menteri dan timbalannya sebelum ini.

"Bagi pandangan saya, mereka takut pada Tajudin. Wang ini melibatkan harta rakyat dan sepatutnya dilaporkan lebih awal. Tapi keengganan melaporkan perkara ini awal, saya kira ia mempunyai kaitan dengan perdana menteri dan timbalannya yang terdahulu.

"Saya tidak fikir hal ini boleh dirunding secara tertutup," katanya kepada media selepas menghadiri majlis perhimpunan mingguan dan sambutan Maulidur Rasul di Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sini hari ini.

Pada 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Tajudin membayar RM589 juta kepada Danaharta yang menguruskan pinjaman tidak berbayar akibat hutang yang ditanggung tokoh korporat itu dalam pembelian saham Mas.     

Jumlah itu merupakan baki pinjaman berjumlah RM1.79 bilion yang diberikan kepada Tajudin oleh sekumpulan peminjam bagi membiayai pembelian 32 peratus kepentingan dalam Mas pada 1994.

Tajudin diperintah membayar jumlah asas pinjaman pada 31 Disember 2005 sebanyak RM589,143,205.57 serta faedah dua peratus atas kadar pemberian pinjaman asas Malayan Banking Bhd mulai 1 Januari 2006 sehingga tarikh penyelesaian penuh kes itu kepada Pengurusan Danaharta dan dua anak syarikatnya.

0 Komen pengunjong :