KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah terkejut dengan langkah pihak pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa (UIA) kerana membatalkan program yang melibatkan dirinya malam tadi.
Menurut beliau, kejadian tersebut merupakan yang pertama menimpa beliau sepanjang menjadi Timbalan Menteri dan ia menyebabkkan beliau begitu terkejut dengan keputusan yang dibuat oleh universiti itu.
"Saya sebenarnya dijemput untuk menghadiri program itu oleh persatuan pelajar. Saya terkejut apabila dimaklumkan program itu dibatalkan dan ditangguhkan kerana itulah pertama kali saya akan hadir untuk program yang dijemput dan kemudian program itu diarahkan dibatalkan," katanya.
Ekoran pembatalan program itu, beliau mengakui telah ditanya oleh pelbagai pihak berhubung perkara itu kerana ia penuh dengan tanda tanya.
Menjawab pertanyaan pemberita di lobi Dewan Rakyat hari ini, beliau bagaimanapun tetap menghormati keputusan tersebut kerana ia dibuat oleh pihak pentadbiran universiti itu sendiri.
Katanya, keputusan pembatalan program itu diketahui oleh beliau menerusi pegawai khas medianya, Fadzmel Fadzil yang berkunjung ke universiti itu malam tadi.
UIA dilaporkan telah membatalkan program bicara e-book Saifuddin malam tadi, atas alasan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sedang hangat diperkatakan sekarang.
Menurut jadualnya, Saifuddin akan hadir ke UIA bagi menjayakan program itu jam 8.15 malam tadi, tetapi beliau ternyata dilarang berdialog di universiti itu.
Saifuddin, yang dilihat sebagai pemimpin berfikiran terbuka dan lantang dalam Umno, dijadualkan membincangkan program buku elektroniknya yang bertajuk "Kalau Saya Mahasiswa".
Dialog anjuran Persatuan Pelajar Undang-Undang UIA itu sepatutnya diadakan di auditorium utama universiti itu di Gombak, Kuala Lumpur.
Saifuddin dimaklumkan mengenai pembatalan itu pada saat akhir dan diberitahu ia akan ditangguh ke tarikh yang lain.
Menurut Saifuddin, beliau mendapat maklumat daripada Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UIA bahawa pembatalan itu adalah atas arahan Rektor UIA, Profesor Datuk Zaleha Kamaruddin.
'Kalau Saya Mahasiswa' adalah buku kelima sya yang diterbitkan pada tahun 2009. Ia boleh dimuat turun dan dibaca di laman ww.saifuddinabdullah.com.my," jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh.
Oktober lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti yang membenarkan universiti mengambil tindakan disiplin terhadap pelajarnya adalah tidak sah dan mencabul kebebasan bersuara.
Sememangnya ada asasnya utk membatalkan program tersebut sebab AUKU masih lagi dipertimbangkan rayuannya oleh KPT. UIA perlu akur dengan dasar KPT itu sendiri dan dalam hal ini, Dato Seri Khalid Nordin Menteri KPT sendiri berpandangan bahawa AUKU dan seksyen 15 nya masih relevan dan diperlukan bagi menjamin keharmonian warga kampus agar bebas dari dijadikan ejen atau talibarut parti-parti poltik bagi tujuan kepentingan mereka dan jika dibenarkan akan memecahbelahkan perpaduan warga kampus dan universti itu sendiri sebagai tempat pengajian bukannya tempat berpolitik.
ReplyDelete