Showing posts with label Datuk Saifudin Abdullah. Show all posts

Saifuddin: Jangan salahkan Cina

Datuk Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR - Pengundi Cina  menjadi faktor kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10) pada tahun 1999 dan tidak  sepatutnya menyalahkan kaum itu sekiranya  tidak kembali menyokong BN pada PRU13.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, BN terhutang budi kepada pengundi Cina atas sokongan itu yang menyebabkan kemenangan BN pada PRU10.

“Saya terpaksa membuat keputusan tidak bersetuju berlakunya ‘tsunami Cina’ pada PRU13  kerana perkara itu  tidak benar sekali dalam sudut apa pun,” katanya pada forum Pasca PRU13: Ke arah mana politik Malaysia,  Universiti Malaya, semalam.

Beliau berkata, jangan kita lupa bahawa pada 1999, pengundi Melayu juga tidak menyokong BN dan pengundi Cina yang menjadi penyelamat kepada BN.

“Siapa yang lupa siapa? Malah BN terhutang budi pada pengundi Cina pada 1999. Takkanlah orang merajuk sekali sudah putus edah dan putus kasih. Perlu muhasabah dan terima sahaja keputusan. Ini perkara biasa,  menyaksikan kita berdepan undi Melayu pada 1999 dan akhirnya kita boleh perbaiki prestasi" katanya.

Saifuddin yang tewas di kerusi Parlimen Termerloh berkata, pada pilihan raya umum tahun 2008, BN juga kehilangan undi dari kaum India, namun berjaya meraih kembali sokongan kaum ini pada PRU13.
Seterusnya >>>

Saifuddin Abdullah Sokong Debat Antara Najib dan Anwar

alt

SHAH ALAM, 23 Mei 2012 - Debat ‘Pemansuhan PTPTN Dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi’ di antara Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin dan Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli anjuran akhbar Sinar Harian telah berlangsung dengan jayanya malam tadi.

Dilangsungkan di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, sambutan hangat yang diterima menyebabkan banyak pihak berpendapat supaya lebih kerap debat seumpama itu diadakan yang membabitkan kepimpinan tertinggi politik negara.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang turut menyaksikan debat tersebut berpendapat debat seperti yang dianjurkan akhbar Sinar Harian itu sebagai satu perkara yang harus diteruskan pada masa hadapan.

Menurutnya, debat memberikan ruang kepada semua pihak berhujah dan bukannya sekadar ceramah satu hala semata-mata.

“Ini pada saya permulaan yang sangat baik dan harus diteruskan lagi dengan siri-siri yang akan datang.

“Yang kita hendak ialah debat politik dan bukan hanya ceramah sehala,” kata ahli Majlis Tertinggi Umno itu.

Menurutnya lagi, jika terdapat cadangan untuk menganjurkan debat di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau adalah antara individu yang akan menyokongnya.

“Itu (debat Najib dan Anwar) satu perkara yang kalau berlaku akan mencipta sejarah. Saya antara yang akan menyokongnya,” kata Saifuddin.
Seterusnya >>>

PRU-13: Menteri akui BN lebih tertekan


SHAH ALAM, 14 Dis: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah mengakui bahawa BN lebih tertekan berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 berbanding Pakatan Rakyat.

Katanya, walaupun kedudukan BN dan Pakatan Rakyat dilihat seimbang pada waktu ini, namun beberapa isu semasa yang membelit Umno BN ketika ini menjadikan parti pemerintah itu dalam tekanan.

"Saya akui kedudukan sekarang seimbang antara kedua-dua parti politik yang bertanding.

"Walau bagaimanapun terdapat tekanan kepada Barisan Nasional dengan isu-isu semasa, dan sebab itulah saya datang untuk mendapatkan 'feedback' bukannya 'feedlot'," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Harian bertajuk PRU13 : Undi Siapa Jadi Penentu di sini semalam.

Pengundi realiti baru

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Majilis Terttinggi Umno mendakwa rakyat khususnya golongan muda sebenarnya sudah menghukum kerajaan apabila menolak media arus perdana.

"Seperti saya katakan tadi rakyat sudah mula menghukum kerajaan melalui tekanan yang diberikan kepada media arus perdana dan kita lihat rakyat sekarang sebenarnya sudah mula muak dengan politik sempit," katanya.

Baginya, undi penentu pada PRU-13 nanti adalah golongan 'pengundi realiti baru' yang sudah tidak mempercayai lagi media arus perdana tersebut.

"Pengundi realiti baru adalah mereka yang mendapat maklumat serta menilai setiap apa jua maklumat tersebut.

"Mereka juga menolak setiap politik yang dilemparkan di dalam media-media arus perdana. Sebab itulah media tersebut telah dihukum sekarang," sambungnya.

Turut serta sebagai panel pada wacana itu adalah Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Fakulti Sain Sosial Universiti Malaya(UM), Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Presiden Kita Datuk Zaid Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Seterusnya >>>

Menteri kecewa HEP UM halang debat mahasiswa

KUALA LUMPUR, 10 Dis: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah kesal dengan tindakan pentadbiran Universiti Malaya (UM) yang memberhentikan debat pelajar yang berlangsung di Fakuliti Undang-undang kampus itu malam tadi.

Menzahirkan rasa kecewa itu melalui laman twitternya, Saifuddin berkata, beliau sedang mendapatkan maklumat untuk mengetahui perkara sebenar yang berlaku.

"Saya dukacita debat AUKU di UM malam tadi terbatal ketika ia sedang diadakan. Saya sedang menyiasatnya," tulisnya ringkas.

Dalam kejadian malam tadi, debat anjuran Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) itu diganggu oleh pengurusan UM dan terpaksa dibatalkan ketika sedang memasuki pusingan kedua.

Menurut Setiausaha Agung Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) Khairul Naim berkata, pihaknya begitu terkilan dan kecewa apabila program debat yang sebenarnya bersifat akademik dan mendidik ini diganggu oleh pengawal keselamatan dan “special branch”.

Debat malam tadi mempertemukan Ahmad Shukri Che’ Ab. Razab yang merupakan bekas aktivis Pro-Mahasiswa dan Syamsul Salleh iaitu bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia.

Debat itu berkisar tentang Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan Autonomi Mahasiswa.

Menurut Khairul, beberapa pengawal keselamatan dan “special branch” telah menjerit meminta penganjur program keluar dewan dan meminta supaya perdebatan dihentikan dengan segera.

“Ketika itu juga lampu telah ditutup beberapa kali, namun pengajur masih meneruskan debat sehingga memaksa Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa UM Mohd Syahid untuk keluar berunding.

“Setelah rundingan dilakukan beberapa minit, akhirnya pihak keselamatan memberitahu arahan tersebut datang daripada Timbalan Naib Canselor HEP UM, Datuk Rohana Yusof,” kata beliau lagi.
Seterusnya >>>

Saifuddin terkejut UIA batal program

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah terkejut dengan langkah pihak pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa (UIA) kerana membatalkan program yang melibatkan dirinya malam tadi.

Menurut beliau, kejadian tersebut merupakan yang pertama menimpa beliau sepanjang menjadi Timbalan Menteri dan ia menyebabkkan beliau begitu terkejut dengan keputusan yang dibuat oleh universiti itu.

"Saya sebenarnya dijemput untuk menghadiri program itu oleh persatuan pelajar. Saya terkejut apabila dimaklumkan program itu dibatalkan dan ditangguhkan kerana itulah pertama kali saya akan hadir untuk program yang dijemput dan kemudian program itu diarahkan dibatalkan," katanya.

Ekoran pembatalan program itu, beliau mengakui telah ditanya oleh pelbagai pihak berhubung perkara itu kerana ia penuh dengan tanda tanya.

Menjawab pertanyaan pemberita di lobi Dewan Rakyat hari ini, beliau bagaimanapun tetap menghormati keputusan tersebut kerana ia dibuat oleh pihak pentadbiran universiti itu sendiri.

Katanya, keputusan pembatalan program itu diketahui oleh beliau menerusi pegawai khas medianya, Fadzmel Fadzil yang berkunjung ke universiti itu malam tadi.

UIA dilaporkan telah membatalkan program bicara e-book Saifuddin malam tadi, atas alasan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sedang hangat diperkatakan sekarang.

Menurut jadualnya, Saifuddin akan hadir ke UIA bagi menjayakan program itu jam 8.15 malam tadi, tetapi beliau ternyata dilarang berdialog di universiti itu.

Saifuddin, yang dilihat sebagai pemimpin berfikiran terbuka dan lantang dalam Umno, dijadualkan membincangkan program buku elektroniknya yang bertajuk "Kalau Saya Mahasiswa".

Dialog anjuran Persatuan Pelajar Undang-Undang UIA itu sepatutnya diadakan di auditorium utama universiti itu di Gombak, Kuala Lumpur.

Saifuddin dimaklumkan mengenai pembatalan itu pada saat akhir dan diberitahu ia akan ditangguh ke tarikh yang lain.

Menurut Saifuddin, beliau mendapat maklumat daripada Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UIA bahawa pembatalan itu adalah atas arahan Rektor UIA, Profesor Datuk Zaleha Kamaruddin.

'Kalau Saya Mahasiswa' adalah buku kelima sya yang diterbitkan pada tahun 2009. Ia boleh dimuat turun dan dibaca di laman ww.saifuddinabdullah.com.my," jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Oktober lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti yang membenarkan universiti mengambil tindakan disiplin terhadap pelajarnya adalah tidak sah dan mencabul kebebasan bersuara.
Seterusnya >>>

Saifuddin: Rakyat muak dengan politik tanpa integriti


Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah bimbang ketandusan integriti di kalangan ahli politik akan menambah rasa jelak rakyat terhadap politik negara sehingga mereka memulau pilihanraya umum akan datang.

Jika ini berlaku, katanya, pembangunan Malaysia akan terjejas kerana parti yang menang hanya mendapat mandat rakyat minoriti tetapi ditolak oleh segmen terbesar penduduk yang bertindak menolak proses demokrasi itu.

"Yang saya bimbang nanti, yang mengundi itu adalah minoriti sebab majoriti tidak mengundi dan tidak kisah tentang politik. Kita mungkin akan mencetuskan suasana di mana negara akan berjalan tetapi sistem-sistem tertentu akan bertemu dengan banyak halangan.

“Ini kerana setiap kali kerajaan membuat keputusan, tidak kiralah kerajaan mana atau parti mana memerintah, majoriti rakyat tidak akan bersetuju (dengan keputusan itu),” kata Saifuddin dalam wawancara eksklusif dengan AntaraPos.com.

Adalah dianggarkan hampir empat juta rakyat daripada 15 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi  masih belum berdaftar sebagai pengundi dan sebahagian besar daripada mereka adalah generasi belia.

“(Apabila) majoriti rakyat tidak bersetuju, itu akan membantutkan pembangunan," katanya.
Politik melampau

Saifuddin juga membayangkan keadaan sebegitu tidak mustahil akibat politik melampau yang diamalkan sehingga menebalkan sikap acuh tak acuh rakyat terhadap arena politik negara.

Justeru, menurut beliau, ahli politik mempunyai tanggungjawab mendokong perjuangan yang menzahirkan nilai-nilai murni dan bukan yang menambah rasa sinis rakyat terhadap ahli politik dan parti yang mereka wakili.   

"Kalau kita sesama kita boleh tingkatkan integriti, termasuk juga idealisme perjuangan dan kualiti dalam perdebatan di parlimen dan dewan undangan negeri, kalau kita boleh tingkatkan secara bersama, misalnya dalam parlimen, kita (boleh) berdebat dengan bahasa yang indah.

"Barulah kita lihat status parlimen sebagai institusi membuat undang-undang yang tertinggi. Kalau kita berbeza pandangan pun, kita bersetuju untuk berbeza pandangan dengan harmoni. Tidak perlulah sampai jerit menggunakan perkataan yang tidak elok,” katanya.

Menurut Saifuddin, perilaku tidak senonoh dalam parlimen tentunya menyuburkan rasa sinis di kalangan rakyat terhadap  politik.

"Dia sinis bukan sahaja kepada pihak tertentu tetapi dia sinis kepada parti politik. Jadi apabila saya melihat kenapa orang muda tidak mahu mendaftar sebagai pemilih, saya bimbang bahawa itu sebab utamanya.

"Dia menjadi putus asa dengan politik dan ini malang kepada masa hadapan negara kalau orang muda sudah menolak politik. Maka kita tidak mahu terjadi yang mengundi dalam pilihanraya itu adalah minoriti," katanya.
Sudah muak
Saifuddin berkata fenomena generasi belia semakin muak dengan aliran politik negara memang wujud, jika “sesi-sesi teh tarik” beliau dengan golongan muda dijadikan sandaran.

Sesi-sesi itu menunjukkan adanya belia yang " tidak percaya politik langsung dan ada yang tidak percaya parti- parti politik tertentu.

"(Bagi mereka) majoriti orang politik sama sahaja. Mereka kata orang politik ini suka cakap sahaja tetapi tidak buat dan selepas itu begitu begini dan sebagainya.

"Jadi bila saya tanya sudah daftar sebagai pemilih? Saya tidak mahu daftar (jawap mereka); ditanya lagi kenapa? Mereka menjawab saya tidak mahu mengundi. Buat apa undi, mereka kata,  tidak jadi apa pun. Jadi ini yang saya katakan "sinis" atau skeptik terhadap politik," kata Saifuddin.

Walaupun tidak mempunyai angka lengkap mengenai jumlah golongan yang sinis terhadap politik negara dan tidak mahu mengundi, Saifuddin tetap bimbang.

"Katakanlah setiap bulan saya buat dua sesi pertemuan dan setiap kali itu bertemu dengan 20 orang, maknanya katalah 10 kali bertemu, maka dalam 10 kali bertemu itu, saya jumpa dua orang yang berprinsip begitu, maka angka itu besar ya," katanya.
Seterusnya >>>

Saifuddin: AUKU wajar dipinda benar pelajar, pensyarah berpolitik


KUALA LUMPUR, 3 Okt — Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Saifuddin Abdullah berkata kerajaan perlu meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) selari dengan usaha Putrajaya memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dua akta lain yang berkaitan.
Sehubungan itu kata Saifuddin, beliau mengalu-alukan kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek semalam, yang menyarankan agar undang-undang itu dipinda bagi membolehkan mahasiswa dan pensyarah terlibat dalam politik.
“Ini kenyataan pertama daripada seorang presiden parti komponen BN. Kenyataan ini penting dan selari dengan kenyataan Datuk Seri Najib yang telah mengumumkan akan memansuhkan ISA. Kalau boleh memansuhkan ISA, apalah sangat meminda AUKU. Meminda AUKU adalah susulan yang semula jadi selepas memansuhkan ISA,” kata beliau dalam satu kenyataan menerusi SMS.
Semalam, dalam ucaptama Perhimpunan Agung Tahunan MCA di ibu negara, Dr Chua mengesyorkan agar Seksyen 15 dan 16 AUKU dipinda bagi membolehkan pelajar dan pensyarah mengambil bahagian dalam politik bagi menghormati hak mereka sebagai pengundi.
Saifuddin yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi menambah, pada tahun lalu beliau telah membentangkan kertas berkenaan idea membenarkan mahasiswa berpolitik pada mesyuarat MT Umno.
“Pada saya, benarkan mahasiswa berpolitik ada dua matlamat utama iaitu untuk memenuhi haknya sebagai rakyat seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan untuk meningkatkan partisipasinya dalam struktur dan proses membuat keputusan.
“Dalam kertas itu, saya senaraikan 30 isu yang tak bersetuju dengan cadangan saya itu dan membidas setiap satu daripadanya. Setakat ini, saya belum jumpa bidasan balik yang baik,” kata Ahli Parlimen Temerloh ini sambil menambah, “ini kerana semua alasan yang tak bersetuju untuk membenarkan mahasiswa berpolitik boleh disimpulkan sebagai tak percaya kepada mahasiswa dan memperlekehkan mahasiswa.”
Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijadual membawa usul untuk memansuhkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Buang Negeri 1959 — dibentang untuk bacaan kali pertama pada sidang Dewan Rakyat.
Usul berkaitan ISA dijangka akan dibawa pada sidang Parlimen Mac depan.
Dalam perutusan khas Hari Malaysia 15 September lalu, Najib mengumumkan ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.
Dalam perutusan itu juga, beliau turut mengumumkan pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 selain akan mengkaji semula secara komprehensif Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 27 Akta Polis 1967.
Seterusnya >>>

Banyak perlu diperbaiki ekoran Bersih 2.0 - Timb menteri

KUALA LUMPUR, 10 Julai: Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Saifudin Abdullah mengakui "banyak perkara yang perlu diperbaiki" oleh BN ekoran perhimpunan Bersih 2.0 semalam.
Ketika bercakap kepada laman web The Malaysian Insider semalam,  Saifudin berkata, kerajaan sepatutnya mengkaji cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagaicara menangani perhimpunan aman.
"Dalam konteks perhubungan politik, kita perlu perbaiki banyak," kata Saifudin yang juga anggota Parlimen Temerloh itu.
Beliau bersetuju perhimpunan di stadium adalah lebih baik berbanding dengan di jalan raya namun dia tidak bersetuju dengan pandangan mudah bahawa "jika berlaku dijalan raya ia akan kecoh, kerana banyak juga perhimpunan di jalan raya berjalan dengan aman."
Perhimpunan Bersih 2.0 pada asalnya adalah perhimpunan aman untuk menghantar memorandum kepada Yang Dipertuan Agung bagi memohon agar pilihan raya diadakan dalam keadaan bersih dan adil.
Lapan tuntutan dikemukakan kepada SPR ke arah memenuhi hasrat itu.
Namun, kerajaan BN menyifatkan perhimpunan ini bakal menjadi kecoh dan menganggu keharmonian di ibu negara.
Perdana Menteri mencadangkan agar ianya diadakan  di stadium dan bersedia untuk membantu mendapatkan stadium yang sesuai.
Selepas bertemu dengan Yang Dipertuan Agung, Pengerusi Bersih 2.0 Datuk S Ambiga mengumumkan perhimpunan ini akan diadakan di stadium dan Stadium Merdeka menjadi pilihan.
Namun, mesyuarat kabinet selepas itu memutuskan, perhimpunan itu tidak dibenarkan berjalan di mana-mana stadium di Kuala Lumpur termasuk Stadium Merdeka.
Polis pula yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri mengambil pendirian bertembung dengan perhimpunan ini dengan menyekat seluruh Kuala Lumpur umpama dharurat sebagaimana yang digambarkan akhbar Umno, Utusan Malaysia.
Ketua Polis Negara hari ini mengumumkan, 1401 peserta perhimpunan telah ditangkap termasuk Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi, timbalannya, Haji Mohamad Sabu, Pengerusi Bersih 2.0 Ambiga, Salahudin Ayub, Datuk Mahfuz Omar, Azmin Ali (timbalan presiden PKR) dan lain-lain.
Penangkapan Mohamad Sabu dibuat dengan kasar apabila motorsikal yang ditumpanginya dilanggar oleh sebuah kereta polis sehingga beliau terjatuh dan menangkap beliau.
Akibat rempuhan itu, lututnya luka berdarah dan sukar untuk berjalan tanpa bantuan.
Seterusnya >>>