SPR patut minta Perdana Menteri umum awal tarikh PRU

KUALA LUMPUR, 23 Nov — Dewan Pemuda PAS membidas tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang “menyibuk” terhadap urusan parti politik lain dengan mahu memujuk negeri-negeri pimpinan Pakatan Rakyat agar mengadakan pilihan raya umum secara serentak.
Sebaliknya, sayap pemuda PAS itu mahu SPR memujuk agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengummkan tarikh pilihan raya umum lebih awal.
Laporan media semalam menyebut, SPR  masih meletakkan harapan agar pilihan raya umum ke-13 Parlimen dan Dewan Undangan Negeri membabitkan semua negeri kecuali Sarawak dapat diadakan serentak.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata beliau akan menemui para pemimpin Pakatan Rakyat yang memerintah di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan berhubung pilihan raya umum ke-13.
Beliau berkata pertemuan itu bertujuan menerangkan kebaikan pilihan raya peringkat Dewan Undangan Negeri dan Parlimen diadakan serentak antaranya bagi menjimatkan perbelanjaan, masa dan tenaga kerana prosesnya sama.
Sehubungan itu Ketua Penerangan Pemuda PAS Riduan Mohd Nor berkata, SPR tidak berhak untuk masuk campur terhadap urusan pihak lain sedangkan urusan kendaliannya banyak lagi yang tidak selesai.
“Dari segi undang-undang tidak menyekat mana-mana kerajaan negeri untuk mengadakan pilihan raya umum secara berasingan, mengapa SPR pula terhegeh-hegeh mahu menasihati parti politik untuk mengadakan pilihan raya umum secara serentak?” kata Riduan dalam satu kenyataan.
Riduan menambah, sepatutnya urusan mengadakan pilihan raya umum secara serentak atau berasingan diputuskan oleh Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional, dan SPR tidak berhak mempertikai perkara itu.
“Tugas utama SPR adalah melaksanakan perjalanan pilihan raya agar ia berlangsung dengan baik, sistematik, telus, dan adil.
“Mencampuri urusan parti-parti politik terutama pembangkang akan dilihat oleh rakyat bahawa SPR terikat dengan arahan pihak tertentu yang berkepentingan,” katanya lagi.
Riduan menambah, pihaknya mahu mengesyorkan, jika SPR benar-benar mahu menasihati pemimpin parti politik, adalah lebih baik Aziz menasihati dahulu Najib agar mengumumkan tarikh pilihan raya umum kepada rakyat daripada awal.
“Ini lebih penting supaya semua pihak dapat membuat persiapan bagi menghadapinya. Merahsiakan tarikh pilihan raya merupakan suatu tindakan yang tidak bijak kerana boleh mengganggu jadual parti politik dan rakyat keseluruhannya,” katanya.

0 Komen pengunjong :