KUALA LUMPUR 23 Nov : Kenyataan Parlimen Jerman terhadap kes Fitnah II yang membabitkan Ketua Pembangkang merupakan tamparan hebat terhadap kerajaan dan sistem perundangan di negara ini.
Pengerusi Biro Antarabangsa KEADILAN, Yusmadi Yusoff berkata, ia menunjukkan dunia kini sedang memerhatikan perkembangan kes berkenaan yang akan dijadikan sebagai kayu pengukur terhadap keyakinan antarabangsa.
“Ia merupakan satu ‘signal’ bahawa mereka (Parlimen Jerman) turut memantau kes berkenaan dan kezaliman terhadap kes Fitnah II Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ini tidak boleh dipandang remeh Kerajaan,”
“Kes Fitnah II sebenarnya dijadikan kayu pengukur terhadap tahap keyakinan pihak antarabangsa yang saya kira amat matang dalam menilai untuk mengadili sesuatu peristiwa dengan adil,” kata Yusmadi Yusoff.
Sebelum ini Parlimen Jerman pada satu kenyataan rasmi menyifatkan kes itu sebagai percubaan pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) untuk menyingkirkan Anwar dan merencatkan momentum reformasi Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum.
Menurut Yusmadi, kenyataan tersebut perlu dilihat sebagai satu pendirian yang tegas oleh pimpinan antarabangsa lebih-lebih lagi negara yang mempunyai kedudukan berpengaruh di dunia.
“Selepas 10 tahun lebih Anwar difitnah dan dituruti dengan kes Fitnah II membuatkan warga dunia telah hilang kepercayaan terhadap sistem keadilan di Malaysia,” katanya yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau.
Tambahnya dalam matlamat Negara menarik pelaburan asing adalah penting untuk mempunyai imej yang baik samada dari segi sistem perundangan mahupun kestabilan politik.
“Sistem keadilan antara salah satu petunjuk penting mana-mana negara terutamanya negara yang mahu meningkatkan pelaburan kerana dengan sistem perundangan yang bebas dan telus dapat menarik lebih pelaburan,”
“Warga dunia secara berterusan memerhatikan kita dan kini jelas agenda ekonomi umno akan gagal,” katanya lagi.
0 Komen pengunjong :